EXCO Kebajikan Masyarakat Anfaal Saari (tiga, kiri) mengadakan sidang media mengenai program Bantuan Kehidupan Sejahtera Selangor (Bingkas) di Bangunan Annex, Shah Alam pada 5 Julai 2024. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/MEDIA SELANGOR
BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

22,840 warga Selangor layak terima RM300 sebulan, rayuan masih dibuka

SHAH ALAM, 21 OGOS: Sebanyak 22,840 permohonan Bantuan Kehidupan Sejahtera Selangor (BINGKAS) diluluskan selepas tarikh tutup pada 15 Ogos lalu, kata EXCO kebajikan.

Anfaal Saari berkata setakat ini terdapat 7,160 baki kuota dan pihaknya sedang menyaring senarai pemohon bagi memastikan hanya yang layak menerima bantuan RM300 sebulan selama 24 bulan.

“Kita menerima sebanyak 88,286 permohonan sejak dibuka mulai 5 Julai hingga 15 Ogos. Kita masih ada peruntukan dan mereka yang gagal boleh membuat rayuan di pejabat DUN masing-masing.

“Pihak DUN akan teliti kelayakan pemohon yang merayu. Inisiatif ini antara langkah negeri untuk meringankan beban rakyat, ” katanya kepada SelangorKini.

Pada 5 Julai, Anfaal mengumumkan syarat permohonan BINGKAS dilonggarkan kepada isi rumah bawah RM5,000 berbanding RM3,000 sebelum ini bagi memastikan lebih ramai menerima manfaat.

BINGKAS merupakan sebahagian daripada 46 insentif Iltizam Selangor Penyayang yang dilancarkan 2022, menggantikan skim Kasih Ibu Smart Selangor (KISS) dan KISS IT (Ibu Tunggal).

Bayaran bantuan berkenaan diagih menerusi aplikasi e-dompet Langkah Masuk Dengan Selamat (SELangkah) bagi memudahkan penerima berbelanja.


Pengarang :