Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj berkenan bergambar bersama pasukan Pilihan Selangor setelah memenangi Piala Sultan Selangor di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur pada 17 Ogos 2024. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/MEDIA SELANGOR
BERITA UTAMAPENDAPATRENCANA

Piala Sultan Selangor imbau nostalgia ‘el clasico’ bola sepak tempatan

Piala Sultan Selangor atau The Sultan Selangor’s Cup (TSSC) diperkenalkan 23 tahun lalu iaitu pada 2001. Tujuannya mempererat persaudaraan dua pasukan seteru utama Liga Malaysia suatu ketika dahulu iaitu Selangor FA dan juga Singapura FA.

Idea penganjuran dicetuskan Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj pada tahun sama Baginda ditabalkan Sultan Selangor.

Mengimbau semula, perseteruan antara Selangor dan Singapura dalam arena bola sepak Malaysia amat menakjubkan kerana kedua pasukan ini yang paling berjaya dalam sejarah Liga Malaysia pada zaman tersebut.

Tidak seperti kejohanan lain, Piala Sultan Selangor eksklusif untuk satu perlawanan utama antara Pilihan Selangor menentang Pilihan Singapura. Di samping itu, turut diadakan perlawanan persahabatan bersifat pertunjukan antara pasukan Veteran Selangor menentang Veteran Singapura.

Kenapa perlu ada Piala Sultan Selangor?

Bagi yang mengikuti rapat kancah bola sepak negara, sejak Piala Malaysia diperkenalkan pada 1921 (ketika itu dikenali Piala Malaya, kemudian Piala HMS Malaya), Selangor dan Singapura antara pasukan terhebat dan kerap kali bertembung di perlawanan akhir bagi merebut piala berkenaan. Malah perlawanan akhir pertama Piala Malaya pada 1921 menyaksikan Singapura menewaskan Selangor.

Sejak itu, Selangor dan Singapura bertemu 22 kali lagi pada perlawanan akhir Piala Malaysia yang ternyata membangkitkan semangat perseteruan kesukanan dalam arena bola sepak yang turut dirasai penyokong kedua-dua pasukan sejak berdekad lamanya.

Dalam tempoh itu, Selangor menjulang 33 kejuaraan Piala Malaysia, kali terakhir pada 2015. Manakala Singapura dengan 22 kejuaraan.

Pertembungan antara Selangor dan Singapura sentiasa dinantikan sehingga digelar Malayan El Clàsico, di mana kedua-dua pasukan musuh tradisi ini sentiasa menampilkan persaingan sihat dan saling hormat-menghormati.

Sehinggalah pada 1994 apabila Singapura menarik diri daripada Liga Malaysia.

Justeru, DYMM Sultan Selangor mencadangkan penganjuran Piala Sultan Selangor bermula pada 2001 bagi meraikan dan mengimbau kembali hebatnya perseteruan tradisi antara Selangor dan Singapura yang pernah mewarnai arena bola sepak tempatan.

Faisal Halim dihalang oleh pemain Singapura ketika perlawanan Piala Sultan Selangor di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur pada 17 Ogos 2024. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/MEDIA SELANGOR

Medan keramat

Diadakan setiap tahun sama ada di Stadium Shah Alam atau Stadium Nasional Singapura, kali terakhir kejohanan ini berlangsung pada 2019 sebelum ditangguhkan akibat pandemik Covid-19.

Sepanjang diadakan lebih dua dekad, Pasukan Pilihan Selangor bergelar juara Piala Sultan Selangor sebanyak sembilan kali iaitu pada 2001, 2003, 2005, 2008, 2012, 2013, 2014, 2018 dan 2019. Pasukan Pilihan Singapura pula menjuarai sebanyak tujuh kali iaitu pada 2006, 2007, 2009, 2010, 2011, 2016 dan 2017.

Pada 2004 kedua-dua pasukan bergelar juara bersama, manakala pada 2015 terpaksa dibatalkan kerana jerebu.

Kembali dengan edisi 2024, Piala Sultan Selangor kali ini dianggap berbeza kerana ia diadakan semula di medan keramat kedua-dua pasukan iaitu di Stadium Merdeka.

Pada edisi terbaharu pada 17 Ogos 2024, Pilihan Selangor merangkul kejuaraan tiga kali berturut-turut dengan menewaskan Pilihan Singapura 2 gol berbalas 1.

Ternyata, saingan Piala Sultan Selangor 2024 dianggap menggamit banyak nostalgia dan kenangan, terutama bagi legenda dan penyokong kedua-dua pasukan.

Legenda bola sepak Selangor seperti Datuk Zainal Abidin Hassan dan legenda bola sepak Singapura, Fandi Ahmad sendiri mengakui mereka amat teruja dengan penganjuran Piala Sultan Selangor yang disifatkan sebagai satu platform mengimbas kembali nostalgia permusuhan tradisi antara kedua-dua pasukan.

Kepada yang cakna dan faham sejarah, mereka akan mengerti rasional di sebalik penganjuran dan turut sama meraikan Piala Sultan Selangor sebagai sebuah acara berprestij yang menyemarakkan semangat persahabatan dalam sukan.

Selain mengembalikan nostalgia, penganjuran Piala Sultan Selangor adalah antara acara yang dinanti-nantikan oleh peminat bola sepak tempatan yang merindui zaman kegemilangan bola sepak Malaysia.

Diharapkan penjelasan ini dapat memberi fakta yang tepat dan manfaat pengetahuan yang lebih jelas kepada masyarakat, khususnya generasi baharu yang mungkin masih belum faham atau dimomokkan dengan informasi mengelirukan tentang sejarah sebenar kewujudan Piala Sultan Selangor.

Apa yang ingin ditekankan juga, simbolik persahabatan dan muhibah kesukanan yang diraikan menerusi semangat Piala Sultan Selangor ini dapat dimanifestasi sebagai teladan dalam membanteras gejala keganasan sukan yang masih berleluasa khususnya dalam arena bola sepak tempatan.

Hentikan keganasan dalam sukan bola sepak.

* Teks diterbit semula daripada coretan Facebook Selangor Royal Office pada 20 Ogos 2024


Pengarang :