Atlet lari jarak jauh Selangor Esther Joy Hong Li Chen beraksi dalam acara akhir 10,000m wanita di Stadium Sarawak, Petra Jaya pada 22 Ogos 2024. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDASUKANKINI

SUKMA Hari Ke-11: Selangor naik di tangga ketiga carta keseluruhan pingat, raih 40 emas

SHAH ALAM, 22 OGOS: Selangor naik di tangga ketiga carta kesuluruhan pingat Sukan Malaysia (SUKMA) 2024 dengan 40 emas, 48 perak dan 35 gangsa setakat hari ke-11 temasya.

Hari ini, emas disumbangkan atlet tinju Hazman Iskandar Zulkifli Siew bagi kategori lightweight 57-60kg, gimnas artistik wanita individu Cadence Zi Qi Teh dan pemain tenis muda Sharifah Elsa Wan Abdul Rahman.

Bagi acara berkumpulan, pasukan beregu campuran ping pong Hui Qi Hun-Yong Li Yi menang emas selepas menewaskan Wilayah Persekutuan selain emas bagi acara ragbi tujuh sebelah kategori wanita.

Emas turut disumbangkan acara Silambam menerusi Mahendran Manimaran (poruthal lelaki 65-75kg) dan Luthrabalan Parsuraman dalam kategori poruthal lelaki bawah 55kg.

Hari ke-11 SUKMA juga menyaksikan pencapaian membanggakan atlet olahraga Esther Joy Hong Li Chen apabila meraih pingat emas dalam acara larian 10,000m sekali gus menjadikan emas ketiga buat dirinya dalam temasya ini.

Esther Joy berusia 21 tahun semalam merangkul pingat emas dalam saingan 5,000m dan 3,000m larian halangan.

Prestasi cemerlang atlet Selangor di pusat akuatik diteruskan dalam acara berganti-ganti gaya bebas 4×200 meter(m) wanita, acara 200 meter(m) kuak dada individu wanita menerusi Khoo Sue Enn dan Lim Shun Qi bagi acara 100 meter(m) kuak kupu-kupu individu wanita.

Andrew Goh terus melebarkan penguasaannya di Pusat Akuatik Pandelela Rinong, Petra Jaya, Kuching apabila membolot emas acara 200 meter(m) kuak dada individu lelaki dengan catatan 2:16.40 saat(s).

Lebih manis, perenang berusia 21 tahun itu turut memadam rekod Sukan Malaysia (SUKMA) 2018 yang dipegang Ng Jing Fu dari Selangor (2:17.47s).

Antara acara yang menjadi tumpuan esok ialah angkat berat, pencak silat, kabbadi berpasukan wanita, bola tampar berpasukan lelaki, e-sport berpasukan lelaki.


Pengarang :