AGENDASUKANKINI

SUKMA 2024: Kuartet Selangor tiada tandingan, sambar dua emas

KUCHING, 23 OGOS: Selangor unggul menutup saingan hari terakhir sukan olahraga Sukan Malaysia (SUKMA) 2024 apabila menyambar dua pingat emas masing-masing menerusi 4×100 meter (m) lelaki dan wanita di Stadium Sarawak di sini hari ini.

Pada saingan akhir, kuartet dibarisi Ahmad Sufi Mohd Faiesal, Danish Irfan Tamrin, Muhammad Haziq Mohamad Akhir dan Adam Hakim Samsuddin mencatat masa 40.86 saat (s) untuk mengesahkan kilauan emas.

Pingat perak dimenangi kuartet Sabah yang melepasi garisan penamat dengan catatan masa 41.06 saat dan melengkapkan podium dengan gangsa adalah Pahang selepas merakam 41.21s.

“Pertama sekali, terima kasih kepada jurulatih saya dan orang yang sokong saya. Di sini saya kesal kerana 100m dan 200m tidak dapat menonjol di peringkat akhir, saya gembira dapat emas 4x100m (tapi) saya sedih ini SUKMA terakhir saya,” kata Adam Hakim ketika ditemui di sini.

Sementara itu, Selangor sekali lagi mempamerkan kehebatan dalam acara 4x100m wanita menerusi gandingan Dhane Marsyella Eehsan Faez Sivam, Nur Afrina Batrisyia Mohamad Rizal, Aina Batrisyia Abdullah, dan Teng Lie Yee.

Mereka tiada tandingan selepas mencatatkan masa 47.97s, diikuti perak diraih kuartet Johor (48.32s) manakala gangsa menjadi milik kuartert tuan rumah, dengan catatan 48.38s.

“Untuk pasukan ini kita pun tak jangka sebenarnya, kita ada pesaing hebat, Johor, Terengganu semua negeri hebat.

“Ini kali pertama kita serta acara berganti-ganti bersama, SUKMA lepas tiada. Kita dapat bagi terbaik untuk Selangor dan hadiahkan emas,” kata Nur Afrina yang turut meraih emas acara 100m dan 200m untuk bergelar ratu pecut SUKMA 2024.

Dalam pada itu, jurulatih skuad olahraga Selangor Mohd Sharil Ab Rahman menyifatkan kejayaan tersebut adalah hasil kerja keras anak buahnya dalam memastikan pencapaian terbaik di SUKMA 2024.

Secara keseluruhan, skuad olahraga Selangor menduduki tempat kedua dalam carta kedudukan pingat dengan mengumpul lapan emas, lima perak dan empat gangsa, di belakang juara Johor (9-5-4).

– BERNAMA

 


Pengarang :