Pasukan pemanah Selangor (kiri) meraih pingat perak dalam acara memanah recurve wanita berpasukan ketika Sukan Malaysia (SUKMA) di Lapang Sasar Memanah, Petra Jaya pada 23 Ogos 2024. Foto HAFIZ OTHMAN/MEDIA SELANGOR
AGENDASUKANKINI

Trio memanah wanita Selangor tekad lakar kejayaan di Kejohanan Remaja Asia

KUCHING, 23 OGOS: Trio memanah recurve wanita Selangor berazam bangkit pada Kejohanan Memanah Remaja Asia di Taiwan September ini bagi mengubat kekecewaan gagal mengutip emas di Sukan Malaysia (SUKMA) 2024.

Nur Arissa Najlaa Fadzil Fairuz, 16, Nur Ieka Hariesya Zainal Habsahli, 18, dan Tengku Aisyah Rohani Tengku Jamal Abdul Nassier, 18, tekad menampilkan aksi lebih baik berbanding temasya sukan dwitahunan kali ini.

Arissa Najlaa mengakui hampa dengan persembahan dipamerkannya pada aksi akhir hari ini yang disifatkan tidak menjadi, namun enggan berputus asa mengintai kejayaan lain pada masa akan datang.

“Syukur dapat bawa balik pingat perak untuk Selangor dan bangga dengan rakan sepasukan yang sudah melakukan yang terbaik. Cuma sedih sebab persembahan saya kurang memuaskan.

Atlet pemanah Selangor Nur Arissa Najlaa Fadzil Fairuz, 16, (kanan) Nur Ieka Hariesya Zainal Habsahli, 18, (kiri) Tengku Aisyah Rohani Tengku Jamal Abdul Nassier, 18 (tengah) meraih pingat perak dalam acara memanah recurve wanita berpasukan ketika Sukan Malaysia (SUKMA) di Lapang Sasar Memanah, Petra Jaya pada 23 Ogos 2024. Foto HAFIZ OTHMAN/MEDIA SELANGOR

“Insya-Allah kami akan tampil dengan panahan terbaik (pada Kejohanan Memanah Remaja Asia) nanti,” katanya ketika ditemui di Lapang Sasar Memanah, Petra Jaya di sini.

Sementara itu, Aisyah Rohani berkata kesukaran mengawal teknik menyebabkan banyak panahan mereka terlepas titik sasaran dan terlepas mata sepanjang aksi kira-kira 30 minit.

“Sedih sebab sasaran sebenar kami di sini untuk raih emas tetapi sebaliknya berlaku. Mata yang diperoleh dalam perlawanan tadi pula tidak seperti mata yang kami selalu buat,” katanya.

Bagi Ieka Hariesya dia memohon maaf kepada semua pihak yang mengharapkan kemenangan pada SUKMA kali ini.

“Sejujurnya kami bersyukur dengan pingat perak ini cuma tidak berpuas hati dengan apa yang dicapai. Kami minta maaf dan insya-Allah akan buat yang terbaik selepas ini,” katanya.

Trio berkenaan tewas 1-5 kepada Kedah dengan mata 47-51, 46-51 dan 46-46.

Semalam, trio muda itu membenam Perak 6-0 pada aksi separuh akhir dengan 49-47, 53-50 dan 53-49.

Atlet pemanah Selangor Tengku Aisyah Rohani Tengku Jamal Abdul Nassier, 18 beraksi dalam acara memanah recurve wanita berpasukan dan meraih pingat perak ketika Sukan Malaysia (SUKMA) di Lapang Sasar Memanah, Petra Jaya pada 23 Ogos 2024. Foto HAFIZ OTHMAN/MEDIA SELANGOR

Pengarang :