Atlet serta pegawai menyertai perbarisan lintas hormat kontijen ketika Majlis Penutupan Sukan Malaysia (SUKMA) Sarawak 2024 di Stadium Paduan, Petra Jaya pada 24 Ogos 2024. Foto HAFIZ OTHMAN/MEDIA SELANGOR
AGENDANASIONAL

SUKMA 2024: MB bangga pencapaian kontinjen Selangor, ada ruang baiki kedudukan

KUCHING, 24 OGOS: Kejayaan kontinjen Selangor mengakhiri saingan Sukan Malaysia (SUKMA) 2024 pada kedudukan ketiga menjadi penanda aras kepada persiapan negeri sebagai tuan rumah temasya sukan berprestij negara edisi ke-22.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari bangga dengan pencapaian kontinjen Selangor yang membawa pulang 56 emas dari bumi Kenyalang, menghampiri sasaran 61 pingat emas.

“Kita capai sasaran untuk berada kedudukan tiga teratas tetapi target 61 emas berakhir dengan 56 emas. Namun jumlah pungutan perak sangat tinggi berbanding negeri lain.

Atlet tenis Selangor Sharifah Elsa Wan Abdul Rahman meraih pingat emas dalam acara tenis akhir individu wanita ketika Sukan Malaysia (SUKMA) di Gelanggang Tenis SLTA, Kuching pada 22 Ogos 2024. Foto HAFIZ OTHMAN/MEDIA SELANGOR

“Jika kita mampu menukar perak itu kepada emas dalam beberapa acara, mungkin kita boleh perbaiki kedudukan paling tidak naib johan atau johan. Ini penanda aras sangat positif menjelang kita menjadi tuan rumah pada 2026,” katanya.

Ketika ditemui di sini hari ini, beliau percaya ada ruang yang mampu ditambah baik untuk bergelar juara SUKMA pada edisi ke-22.

“Kita lihat taburan emas SUKMA kali ini tidak hanya bertumpu kepada acara olahraga dan renang yang merupakan penyumbang terbesar, tetapi ada juga dari sukan catur misalnya.

“Ini membuktikan pembangunan (sukan) kita menyeluruh kepada semua sukan dan bukan bertumpu kepada satu-satu bidang sahaja.

Pasukan 4×100 gaya bebas wanita Selangor merangkul emas serta meleburkan rekod SUKMA dengan catatan masa 3:55.84 saat pada saingan akhir di Pusat Akuatik Pandelela Rinong, Petra Jaya, Kuching . Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

“Namun acara seperti memanah dan basikal yang gagal menyumbang pingat, kita rasa mungkin ada beberapa perkara harus diteliti khususnya dalam menyediakan atlet-atlet pada masa depan,” katanya.

Selangor mengumpul 56 emas, 64 perak dan 61 gangsa secara keseluruhan sepanjang temasya dwitahunan berlangsung dari 17 hingga hari ini untuk berada di kedudukan ketiga.

Tuan rumah Sarawak unggul dengan 76 emas, perak (55) dan 70 (gangsa) untuk dinobat juara keseluruhan manakala naib juara Wilayah Persekutuan dengan 75 emas, perak (65) serta gangsa (72).

Selangor bakal menjadi penganjur SUKMA pada 2026 selepas diputuskan Jawatankuasa Tertinggi Sukan Malaysia pada 18 Julai lalu.

Kali terakhir Selangor menjadi tuan rumah sukan berprestij itu pada 1998.

Atlet renang Selangor Andrew Goh (tengah) meraih emas kesepuluh Selangor dalam acara 100 meter kuak dada dengan catatan masa 1:01.39 di Pusat Akuatik Pandelela Rinong, pada Sukan Malaysia (SUKMA) 2024. Foto HAFIZ OTHMAN/MEDIA SELANGOR

 


Pengarang :