GLOBAL

India beri amaran mungkin berlaku keganasan pasca pilihan raya

NEW DELHI, 23 Mei: India telah mengeluarkan amaran di seluruh negara pada Rabu yang menyebut mengenai kemungkinan berlaku keganasan apabila undi dikira dalam pilihan raya baru-baru ini, lapor agensi berita Turki Anadolu memetik kenyataan Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri India.

Kementerian itu telah meminta Ketua Setiausaha Negara, Ketua Pengarah Polis dan negeri serta Wilayah Kesatuan (UT) untuk mengekalkan undang-undang dan ketenteraman, keamanan dan ketenangan awam.

“Negeri/UT telah diminta untuk mengambil tindakan lanjut yang sewajarnya untuk menjaga keselamatan bilik kebal dan venue pengiraan undi. Ini susulan gesaan dan kenyataan yang dibuat oleh pelbagai pihak untuk menghasut keganasan serta menyebabkan gangguan pada hari pengiraan undi,” menurut kenyataan itu.

Nasihat luar biasa itu dibuat bagi menentang kempen parti pembangkang terhadap Suruhanjaya Pilihan Raya yang didakwa mentafsirkan udang-undang dan peraturan yang memihak kepada pakatan pemerintah, menurut laporan media.

Suruhanjaya Pilihan Raya India akan mula mengira undi bagi Lok Sabha ke-17, iaitu dewan rakyat di parlimen, pada pukul 8 pagi Khamis (0300 GMT).

Lebih 8,000 calon bertanding bagi merebut sejumlah 542 kerusi parlimen.

Perikatan Demokratik Nasional (NDA) pimpinan Perdana Menteri Narendra Modi dijangka memenangi majoriti selesa, menurut pemberian suara eksit.

Dengan jumlah pengundi terbesar di dunia sebanyak hampir 900 juta, pilihan raya India diadakan dalam tujuh fasa yang meliputi tempoh lebih 38 hari. -BERNAMA

 


Pengarang :