Antara kediaman yang musnah dalam insiden gempa bumi di daerah Maluku Tengah, pada 26 September lalu. Foto AFP
AGENDAGLOBAL

Pasca gempa: Lebih 200 gempa susulan di Maluku

JAKARTA, 27 SEPT: Sebanyak 264 gempa susulan (bermagnitud bawah 5 Skala Richter) dicatatkan di Maluku Tengah sehingga jam 12 tengah hari ini (waktu Indonesia Timur).

Menurut Badan Meteorologi, Klimatologi dan Geofisika (BMKG) Indonesia, insiden itu berlaku selepas gempa 6.5 Skala Richter yang melanda semalam, yang sebelum itu dicatatkan berskala 6.8.

Gempa semalam yang berpusat di 40 kilometer (km) timur laut Ambon-Maluku pada kedalaman 10km menyebabkan penduduk tempatan panik dan bergegas ke kawasan tinggi kerana bimbang ancaman tsunami, walaupun tiada ancaman dikeluarkan BMKG.

Jumlah mangsa gempa bumi bermagnitud 6.5 Skala Richter di Maluku, Indonesia meningkat kepada 23 orang.

Menurut Badan Nasional Penanggulangan Bencana (BNPB) (badan pengurusan bencana kebangsaan), lebih seratus orang dicatatkan mengalami kecederaan dan ribuan penduduk di Kota Ambon dan Maluku Tengah ditempatkan di pusat pemindahan sementara, berikutan gempa susulan masih berterusan berlaku.

Berdasarkan gambar yang dikongsi BNPB, puluhan bangunan dan rumah di kota Ambon dan Kabupaten (daerah) Maluku Tengah, rosak teruk manakala jalan raya serta jambatan juga retak.

Menurut Ketua Pusat Data, Informasi dan Hubungan Masyarakat BNPB, Agus Wibowo, pihak berkuasa tempatan masih menaksir kerosakan harta benda dan masih mengesan mangsa yang terkorban.

-BERNAMA


Pengarang :