Seorang pembeli yang memakai topeng muka melepasi notis di luar sebuah pasar raya di Pulau Pinang pada 3 April 2020 susulan Perintah Kawalan Pergerakan untuk memerangi penularan Covid-19. Foto AFP
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Covid-19: Empat lagi maut, 150 kes baharu dilaporkan

SHAH ALAM, 4 APRIL: Empat lagi kematian akibat Covid-19 dilaporkan hari ini, menjadikan jumlah keseluruhan yang maut sebanyak 57 orang, kata ketua pengarah kesihatan.

Status Covid-19 di Malaysia. Grafik Twitter KKM

Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata sebanyak 150 kes baharu turut dilaporkan, menjadikan jumlah keseluruhan jangkitan sebanyak 3,483 kes.

“Daripada 150 kes ini, 80 adalah berkaitan perhimpunan di Masjid Jamek Sri Petaling,” katanya pada sidang media di Putrajaya hari ini.

Katanya, sebanyak 88 pesakit sembuh dan dibenarkan keluar hospital menjadikan jumlah kumulatif pulih sepenuhnya 915 orang.

Dr Noor Hisham berkata seramai 99 pesakit sedang dirawat di unit rawatan rapi dengan 50 daripadanya memerlukan bantuan pernafasan.

Berikut adalah kes kematian yang dilaporkan Kementerian Kesihatan Malaysia hari ini:

-Kes kematian ke-54 (kes ke-2149) merupakan perempuan warganegara Malaysia berumur 85 tahun dan mempunyai latar belakang penyakit jantung. Beliau dirawat di Institut Jantung Negara pada 23 Mac 2020 dan disahkan meninggal dunia pada 28 Mac 2020 jam 12.10 pagi

-Kes kematian ke-55 (kes ke-860) merupakan perempuan warganegara Malaysia berumur 66 tahun dan mempunyai latar belakang penyakit darah tinggi. Beliau dirawat di Hospital Sultan Ismail Petra, Kelantan pada 18 Mac 2020 dan disahkan meninggal dunia pada 3 April 2020 jam 4 petang

-Kes kematian ke-56 (kes ke-2850) merupakan lelaki warganegara Malaysia berumur 56 tahun dan mempunyai latar belakang penyakit jantung. Beliau mempunyai kontak rapat dengan kes ke-1031 dan dirawat di Hospital Umum Sarawak, Sarawak pada 30 Mac 2020. Beliau disahkan meninggal dunia pada 3 April 2020 jam 4.16 petang

-Kes kematian ke-57 (kes ke-1575) merupakan lelaki warganegara Malaysia berumur 61 tahun dan mempunyai latar belakang penyakit kencing manis. Beliau dirawat di Hospital Tengku Ampuan Afzan, Kuantan, Pahang pada 23 Mac 2020. Beliau disahkan meninggal dunia pada 3 April 2020 jam 10.25 malam


Pengarang :