SHAH ALAM, 14 APRIL: Dato’ Seri Amirudin Shari menyeru rakyat Selangor menyemak kesahihan semua maklumat berkenaan Covid-19 sebelum perkara tersebut dikongsi di media sosial.
Dato’ Menteri Besar berkata, individu yang melanggar arahan berkongsi maklumat palsu boleh dikenakan tindakan tegas.
“Rakyat Selangor diminta menyemak semua maklumat sebelum berkongsi di laman sosial dan jangan sekali-kali sebar berita palsu,” kata beliau menerusi hantaran di Twitter hari ini.
Menurutnya, individu yang mengeluarkan dan menyebarkan berita palsu boleh didakwa mengikut Seksyen 505 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia.
Baru-baru ini, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) mengeluarkan amaran tindakan tegas akan dikenakan kepada pihak tidak bertanggungjawab menyebarkan kandungan, khabar angin atau berita palsu mengenai Covid-19.
Perbuatan tersebut boleh menimbulkan kekecohan dan kemudaratan kepada kestabilan negara.
Orang ramai boleh mendapatkan maklumat sahih berkaitan Covid-19 dengan merujuk sumber rasmi Kementerian Kesihatan (www.moh.gov.my/) atau badan kesihatan antarabangsa (https://www.who.int/).