Kakitangan perubatan melakukan saringan pengesanan Covid-19 ke atas jemaah tabligh di Masjid Seri Petaling Kuala Lumpur. Foto Facebook Datuk Dr Noor Hisham Abdullah
AGENDANASIONAL

Perhimpunan di masjid Seri Petaling kekal kluster terbesar Covid-19

SHAH ALAM, 14 APRIL: Perhimpunan jemaah tabligh di masjid Seri Petaling, Kuala Lumpur kekal menjadi kluster terbesar Covid-19 di negara ini dengan jumlah 1,850 kes positif setakat jam 12 tengah hari semalam.

Menurut Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), bagi tempoh sama sebanyak 23,915 sampel diambil membabitkan individu daripada kluster tersebut.

Semalam, Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah dilaporkan berkata kluster perhimpunan tabligh mewakili 40 peratus daripada jumlah keseluruhan pesakit wabak berkenaan.

Kluster kedua tertinggi membabitkan persidangan agama di gereja di Kuching, Sarawak iaitu 117 kes disusuli kes import dari Itali di Kuching yang mencatatkan 50 kes, termasuk lima kes baharu.

Kluster keempat iaitu kenduri kahwin di Bandar Baru Bangi kekal 96 kes, begitu juga subkluster masjid Seri Petaling di Rembau kekal 53 kes, termasuk 40 kes sembuh.

KKM setakat semalam mengesan 25 kluster dan subkluster individu yang dijangkiti Covid-19 namun belum diumumkan sepenuhnya.


Pengarang :