SHAH ALAM, 7 SEPT: Sebanyak 62 kes baharu Covid-19 direkodkan hari ini menjadikan jumlah keseluruhannya 9,459.
Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata sembilan pesakit pulih dibenarkan keluar wad menjadikan jumlah pesakit pulih daripada wabak itu 9,124.
“Jumlah kes aktif sedang dirawat kini sebanyak 207 orang, individu sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) pula enam orang dan empat memerlukan bantuan pernafasan. Tiada kematian baharu dilaporkan hari ini,” katanya melalui Facebook.
Menurut Dr Noor Hisham, 56 kes baharu membabitkan jangkitan tempatan, manakala enam merupakan kes import.
“Daripada 56 kes tempatan itu, 30 adalah warganegara dan bakinya (26) merupakan pesakit bukan warganegara,” katanya.
Tambah Dr Noor Hisham, sebanyak 50 kes dikesan positif Covid-19 dari kluster Benteng LD di Sabah.