SHAH ALAM, 15 OKT: Sebanyak 52 kawasan di lima daerah di Selangor berisiko tinggi mengalami banjir akibat fenomena air pasang besar gelombang kedua pada Sabtu hingga Isnin depan.
Menurut kenyataan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri yang dikeluarkan pada 3 September, daerah yang terkesan ialah Sepang, Kuala Langat, Klang, Kuala Selangor dan Sabak Bernam.
Pada 17 hingga 19 Oktober ini, kawasan terlibat akan mengalami gelombang kedua fenomena dan paras air laut dijangka pada tahap maksimum iaitu 5.8 meter.
Air pasang besar pertama kali berlaku pada 19 hingga 20 September lalu dan gelombang ketiga dijangka berlaku pada 15 hingga 16 November depan.