Orang ramai mematuhi arahan dengan mengenakan pelitup muka ketika berada di tempat awam bagi mencegah penularan Covid-19 ketika tinjauan di sekitar Kuala Lumpur pada 3 Ogos 2020. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Kesedaran warga Selangor masih tinggi, tetap pakai pelitup muka di tempat awam

SHAH ALAM, 11 MEI: Tahap kesedaran warga Selangor terhadap bahaya Covid-19 masih tinggi walaupun kerajaan mengumumkan kelonggaran tatacara operasi piawai (SOP) sejak 1 Mei yang lalu.

Ahli Jawatankuasa Majlis Penasihat Kesihatan Awam Negeri berkata perkara itu dapat dilihat dengan jelas di mana orang ramai masih memilih memakai pelitup muka di tempat terbuka.

“Macam tengah hari tadi saya keluar membeli makanan di ‘food truck’ yang beratur semua pakai pelitup muka walaupun ia tidak perlu. Kita rasa gembira.

“Yang memakainya kebanyakan kanak-kanak dan ini menunjukkan tahap kesedaran itu sampai, ia positif buat Selangor,” kata Dr Mohammad Farhan Rusli.

Beliau yang juga pakar Perubatan Kesihatan Awam Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) berkata demikian dalam Bual Bicara: Longgar SOP, lebih jaga diri yang disiarkan secara langsung di semua saluran Media Selangor.

Ditanya mengenai jangkitan di Selangor, Mohammad Farhan berkata negeri ini sentiasa menjadi juara kerana jumlah populasi penduduk yang ramai.

“Jadi apabila berlaku sesuatu di skala nasional, Selangor adalah yang terbesar dan tinggi… berdasarkan apa yang kita dapat tahu keadaan di Selangor adalah baik kerana rakyat Selangor ramai yang menerima vaksin.

“Kita tengok jumlah kes secara mutlak ia tidak memberikan gambaran sebenar berbanding negeri tertentu jumlah peratusan yang menerima jangkitan adalah lebih tinggi dari Selangor,” katanya.

Pada 27 April lalu Kementerian Kesihatan Malaysia memutuskan pemakaian pelitup muka di luar bangunan tidak lagi diwajibkan bermula 1 Mei.

Menterinya, Khairy Jamaluddin berkata pemakaian pelitup muka di luar bangunan dan kawasan terbuka adalah atas pilihan tetapi amat digalakkan kerana pelitup muka mampu mengurangkan penularan jangkitan.


Pengarang :