Salah seorang pelajar asnaf Universiti Selangor (Unisel) menerima sumbangan makanan percuma sepanjang pengajian. Foto Unisel
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

108 pelajar asnaf Unisel terima bantuan makanan percuma

SHAH ALAM, 18 JUN: Seramai 108 pelajar asnaf Universiti Selangor (Unisel) menerima makanan percuma dari Unit Zakat, Pusat Islam institusi itu.

Presiden dan Naib Canselornya Prof Dato’ Dr Mohammad Redzuan Othman berkata bantuan itu membabitkan akan diberi sepanjang tempoh pengajian mereka.

“Kita melihat ada dalam kalangan pelajar terdiri daripada golongan yang perlu dibantu. Walaupun jumlah yang diberi ini mungkin tidak dapat menyelesaikan masalah.

“…Namun saya berharap ia sedikit sebanyak dapat meringankan beban penerima sepanjang mereka belajar di sini,” katanya menerusi kenyataan di Facebook.

Dr Mohammad Redzuan berkata bantuan terbabit merupakan tanggungjawab sosial Unisel hasil sumbangan pensyarah dan kakitangan pentadbiran.

Beliau turut berpesan kepada mana-mana pelajar yang ada masalah boleh berkongsi dan pihak universiti sedaya upaya cuba untuk membantu.

Sementara itu, pelajar Fakulti Perniagaan dan Perakaunan yang juga salah seorang penerima, Afifah Fatihah menzahirkan rasa syukur dan terima kasih atas bantuan diberikan.

“Terima kasih Unisel kerana sentiasa peka dengan kebajikan pelajar. Harapan saya agar dengan bantuan yang diberikan ini dapat menyuntik semangat untuk saya belajar bersungguh-sungguh sehingga tamat pengajian,” katanya.

Manakala, pelajar Diploma Digital Graphic Design Fakulti Komunikasi, Seni Visual dan Pengkomputeran Farziatul Amiera Ishamsol Kaha menyifatkan sumbangan itu meringankan beban.

“Bantuan sebegini dapat membantu pelajar mengurangkan beban yang dihadapi lebih-lebih lagi dalam bentuk perbelanjaan makanan harian,” ujarnya.

Penyerahan bantuan itu disempurnakan oleh Prof Dr Mohammad Redzuan di Bilik Mesyuarat Senat bagi Kampus Shah Alam manakala bagi Kampus Bestari Jaya pula diagihkan oleh Timbalan Naib Canselor (Pembangunan Pelajar dan Jaringan Komuniti) Prof Madya Dr Hamdan Mohd Salleh.


Pengarang :