Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari (tengah) bersama beberapa pimpinan Pakatan Harapan (HARAPAN) ketika majlis pelancaran Jentera HARAPAN Sungai Besar dan Sabak Bernam serta Taklimat Ejen Tempat Mengundi dan Ejen Mengira Undi (Paca) di Dewan Seri Bernam, Sabak Bernam pada 15 Oktober 2022. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

HARAPAN letak calon KEADILAN di Parlimen Sungai Besar, Amanah di Sabak Bernam

SABAK BERNAM, 15 OKT: Pakatan Harapan (HARAPAN) meletakkan calon Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) di kerusi Parlimen Sungai Besar pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

Pengerusi HARAPAN Selangor Dato’ Seri Amirudin Shari berkata gabungan itu turut mempertaruhkan calon Parti Amanah Negara (Amanah) di kerusi Parlimen Sabak Bernam pada pilihan raya yang dijangka pada November.

“Kita sudah buat keputusan, insya-Allah Sabak Bernam ditandingi Amanah. Kita akan bergerak atas nama HARAPAN dan orang-orang KEADILAN serta Parti Tindakan Demokratik (DAP) kena sokong.

“Di Parlimen Sungai Besar pula KEADILAN akan bertanding, jadi saya minta tolong rakan-rakan dari Amanah dan DAP untuk sama-sama bekerja sebagai satu pasukan yang kuat mempertahankan Parlimen berkenaan,” katanya.

Beliau berucap pada majlis pelancaran Jentera HARAPAN Sungai Besar dan Sabak Bernam serta Taklimat Ejen Tempat Mengundi dan Ejen Mengira Undi (Paca) di Dewan Seri Bernam di sini hari ini.

Dalam pada itu, Dato’ Menteri Besar berkata PRU kali ini adalah masanya untuk mengembalikan semula mandat rakyat kerana negara berada pada tahap kritikal.

“Hutang negara semakin tinggi dan indeks persepsi rasuah (CPI) juga semakin meningkat. Dahulu zaman HARAPAN (memerintah) CPI sudah turun tetapi naik balik (apabila Umno mentadbir).

“Jadi kita kena bekerja untuk menang dan sumbangan itu harus bermula di Parlimen masing-masing. Insya-Allah kita boleh sapu bersih dan mulakan kemenangan di Parlimen Sabak Bernam serta Sungai Besar,” katanya.


Pengarang :