Pengerusi Pakatan Harapan (HARAPAN), Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Majlis Pelancaran Iltizam & Jentera Wanita HARAPAN PRU-15 di Dewan Raja Muda Musa di sini, hari ini. FOTO SUHAILA SHAHRUL ANNUAR/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Wanita HARAPAN lancar 30 iltizam PRU15, tumpu jamin hak wanita dan rakyat

OLEH SUHAILA SHAHRUL ANNUAR

SHAH ALAM, 15 OKT: Wanita Pakatan Harapan (HARAPAN) melancarkan 30 iltizam jentera pilihan raya umum ke-15 (PRU15) di Dewan Raja Muda Musa di sini, hari ini.

Majlis pelancaran disempurnakan Pengerusi HARAPAN Datuk Seri Anwar Ibrahim itu menterjemah aspirasi dan kejituan wanita ke arah pemerintah bermaruah, adil dan inklusif.

Bertemakan Wanita Harapan Negara, iltizam itu menumpukan kepada enam perkara utama iaitu wanita, kanak-kanak, warga emas, orang kelainan upaya (OKU), pembangunan sosial dan impak perubahan iklim serta inisiatif ekonomi peduli wanita.

Bagi wanita, antara iltizam itu termasuk menyarankan pindaan perkara 14(1) Perlembagaan Persekutuan berkaitan hak ibu warga Malaysia yang melahirkan anak di luar negara dapat menurunkan kewarganegaraan kepada anak mereka.

Selain itu, memperkasa institusi kehakiman syariah khususnya berkaitan pengurusan pentadbiran serta penyediaan dana khas dan akses bantuan guaman bagi memastikan keadilan wanita dan kanak-kanak serta menangani isu kemiskinan dan pengurusan haid dengan menyediakan Kit Menstrual secara percuma di sekolah terutama untuk segmen B40 dan M40.

Bagi kanak-kanak, antaranya memperkenalkan Pelan Nasional Daya Tahan Nutrisi bagi menangani isu malnutrisi dalam kalangan kanak-kanak selain menyarankan penubuhan jawatankuasa kanak-kanak di peringkat mahkamah sivil dan syariah untuk menegakkan keadilan dan hak kanak-kanak.

Bagi warga emas, antaranya wanita HARAPAN beriltizam menggubal akta warga emas agar hak dan perlindungan bagi golongan itu dapat dimartabatkan menuju Malaysia sebuah negara berpopulasi warga emas menjelang 2030.

Selain itu, memperkenalkan inisiatif pelepasan cukai serta bantuan kewangan bagi majikan yang melatih dan mengambil golongan warga emas untuk kembali bekerja serta menetapkan penubuhan pusat aktiviti harian warga emas dalam pelan pembangunan Pihak Berkuasa Tempatan.

Bagi OKU, antaranya meminda akta OKU untuk memastikan tiada diskriminasi dalam akses kepada pendidikan, peluang pekerjaan, perumahan, perkhidmatan kesihatan dan pengangkutan serta lantikan seorang Pesuruhjaya OKU dalam Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) mewakili suara OKU.

Bagi pembagunan sosial dan perubahan iklim antaranya mewujudkan talian khas dan penyediaan geran bagi badan bukan kerajaan untuk sokongan psikososial kepada mereka yang menghidap kemurungan, tekanan atau keinginan bunuh diri selain memastikan setiap rang undang-undang (RUU) yang dibentangkan di parlimen merangkumi aspek keterangkuman gender.

Bagi inisiatif ekonomi peduli wanita antaranya melancarkan kerangka pembangunan usahawan nasional dengan empat fokus akses iaitu pembiayaan kursus dan latiham fasiliti digital dan teknologi maklumat, perkhidmatan dan rangkaian perniagaan serta akses kepada pasaran dan e-pasaran, selain menggubal dasar galakan waktu bekerja anjal untuk semua sektor.


Pengarang :