SHAH ALAM, 23 NOV: Data peribadi penerima Bantuan Kehidupan Sejahtera Selangor (Bingkas) dan Skim Insurans Am Selangor (Insan) di aplikasi e-dompet Wavpay selamat dan dilindungi.
Dato’ Menteri Besar berkata aplikasi disediakan syarikat Wavpay Systems Sdn Bhd itu dikawal selia Bank Negara Malaysia (BNM) serta tertakluk polisi ketat pengurusan maklumat pelanggan selain mematuhi Akta Perlindungan Data Peribadi 2010.
“Pangkalan data pengeluar e-duit bawah kawal selia BNM diwajibkan mematuhi ciri keselamatan teknologi maklumat demi memastikan keselamatan pangkalan data daripada pencerobohan.
“Secara asas segala maklumat dikumpulkan milik Kerajaan Negeri sebagai pemegang saham selain syarat perlu patuhi kriteria BNM untuk memastikan keselamatan data,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari di sidang Dewan Negeri Selangor hari ini.
Beliau menjawab soalan wakil rakyat Bukit Melawati Juwairiya Zulkifli berhubung jaminan keselamatan data peribadi dan transaksi penggunaan sistem Wavpay yang digunakan Kerajaan Negeri.
Ahli Dewan Negeri Sungai Tua turut mengingatkan pengguna aplikasi supaya bertanggungjawab dengan tidak berkongsi maklumat diri kepada orang lain.
“Pastikan peranti digunakan mempunyai ciri keselamatan seperti pengenalan diri dan kata laluan yang selamat,” katanya.
Bingkas merupakan sebahagian daripada 44 insentif Iltizam Selangor Penyayang yang dilancarkan pada akhir Jun bakal memanfaatkan 30,000 keluarga membabitkan peruntukan RM108 juta.
Menerusi Bingkas, setiap keluarga yang layak akan menerima bantuan RM300 sebulan atau RM3,600 setahun.
Manakala Insan pula menawarkan perlindungan insurans am berkumpulan kepada individu berumur dari 30 hari sehingga 80 tahun.
Skim dengan nilai perlindungan RM60 bilion itu memberi perlindungan insurans sehingga RM10,000 bagi kes hilang keupayaan kekal dan kematian disebabkan kemalangan.