ADN Balakong Wong Siew Ki bercakap kepada media selepas menyerahkan kad sim percuma di Pusat Khidmat ADUN Balakong Taman Kasturi, Kajang pada 26 Oktober 2021. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
ADNBERITA UTAMASELANGOR

DUN Balakong anjur festival promosi pelancongan perindustrian 12 Mac

OLEH AZIAN AZIZ

KAJANG, 10 FEB: Pusat Khidmat Masyarakat Dewan Undangan Negeri (DUN) Balakong akan menganjurkan Festival Balakong Industrial Culture and Art (BICA) di Dataran C180, Cheras dekat sini pada 12 Mac ini.

Wakil rakyat Wong Siew Ki berkata pelbagai aktiviti menarik disediakan untuk orang ramai sepanjang BICA yang bermula pukul 9.30 pagi hingga 5 petang antaranya gerai jualan, pertandingan tarian K-pop, pertandingan mewarna untuk kanak-kanak dan zumba.

“BICA diadakan bertujuan mempromosikan pelancongan perindustrian di Balakong kepada orang ramai. Setakat ini sebanyak sembilan kilang dan 60 pengusaha industri kecil dan sederhana (IKS) telah mendaftar untuk membuka gerai jualan.

“Antaranya kilang menghasilkan kicap, kuali dan syampu serta peniaga IKS yang membuat kraftangan, baju, barang kemas dan makanan,” katanya ketika ditemui dalam Program Jelajah Ehsan Rakyat DUN Balakong di Surau Al-Amin, Taman Cheras Prima, di sini semalam.

Menurut Siew Ki pihaknya menjangkakan kehadiran kira-kira 5,000 orang termasuk peserta, penduduk Balakong dan kawasan sekitarnya.

“Bagi pertandingan tarian K-pop penyertaan masih dibuka dan setakat ini 10 kumpulan telah mendaftar.

“Sebarang pertanyaan boleh menghubungi Pusat Khidmat Ahli Dewan Negeri Balakong di nombor 03-9076 0331,” tambahnya.


Pengarang :