SHAH ALAM, 10 FEB: Pembinaan dua lagi hospital di Kapar dan Sepang mampu mengatasi isu kesesakan pesakit di fasiliti awam untuk jangka masa panjang, kata Dato’ Menteri Besar.
Dato’ Seri Amirudin Shari mengambil maklum titah Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj yang meminta Kementerian Kesihatan (KKM) menambah lebih banyak fasiliti kesihatan.
“Dalam tempoh beberapa minggu lagi, Hospital Cyberjaya akan siap sepenuhnya. Kerajaan pusat juga akan membina sebuah hospital di Kapar, Klang dengan kapasiti 300 katil.
“Pembinaan sebuah lagi hospital di Sepang turut dirancang. Usaha ini dapat mengurangkan tekanan kepada hospital sedia ada di negeri ini,” katanya di pusat beli-belah SACC Mall di sini hari ini.
Ditemui selepas meninjau pameran projek pembangunan semula Kompleks Sukan Shah Alam (KSSA), Amirudin berkata Kerajaan Negeri melalui anak syarikatnya SelCare hanya mampu menyediakan fasiliti kesihatan kecil seperti klinik SelCare dan Farmasi SelCare.
“Pembinaan hospital di bawah bidang kuasa kerajaan pusat, jadi kita (SelCare) hanya dapat membantu kerajaan pusat setakat kita mampu,” katanya.
Semalam, Sultan Sharafuddin menyeru KKM melihat semula semua keperluan fasiliti kesihatan awam di Selangor secara menyeluruh termasuk tempoh menunggu lama pesakit bagi mendapatkan rawatan daripada pakar perubatan.
Baginda yang berkenan merasmikan Hospital Tanjong Karang bertitah, lebih tujuh juta rakyat Selangor memerlukan fasiliti kesihatan lebih baik serta kemudahan peralatan kesihatan yang lebih canggih.