Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj berkenan menandatangani plak sebagai perasmian pembukaan Hospital Tanjong Karang, Kuala Selangor pada 9 Februari 2023. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDANASIONALSELANGOR

Sultan: KKM teliti keperluan fasiliti kesihatan, usah biar pesakit tunggu lama

KUALA SELANGOR, 9 FEB: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor menyeru Kementerian Kesihatan (KKM) melihat keperluan fasiliti kesihatan negeri ini secara menyeluruh terutama melibatkan proses menunggu lama di hospital.

Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj bertitah negeri ini memerlukan banyak fasiliti kesihatan terkini bagi menampung jumlah penduduk yang ramai melebihi tujuh juta.

Baginda bertitah rakyat ketika ini terpaksa menunggu lama di Bahagian Kecemasan kospital sebelum dimasukkan ke dalam wad berikutan ramai pesakit di klinik kesihatan.

“Masa menunggu untuk pembedahan dan rawatan lanjut juga mengambil masa berbulan-bulan.

“Oleh itu, beta memohon agar kelengkapan hospital dan klinik kesihatan diutamakan manakala jumlah doktor serta jururawat harus ditambah,” titah baginda sempena perasmian Hospital Tanjong Karang di sini hari ini.

Baginda bertitah perkhidmatan kesihatan di hospital perlu mempunyai sistem pengurusan baik dan cekap.

“Ini juga menjurus kepada penyelenggaraan hospital supaya peralatan dan infrastruktur sentiasa dalam keadaan baik untuk memberikan perkhidmatan berkualiti tinggi kepada rakyat.

“Bagi pengurusan fasiliti, penyelenggaraan bangunan secara berjadual dan pemantauan berkala dapat meningkatkan jangka hayat bangunan hospital selain memberi faedah berterusan kepada penduduk setempat,” titah Baginda.


Pengarang :