Anggota polis trafik Kuala Lumpur memeriksa penunggang motosikal yang melakukan kesalahan sempena operasi khas malam ambang tahun baharu 2023 di Jalan Loke Yew menghala ke pusat bandar Kuala Lumpur pada 1 Januari 2023. Foto BERNAMA
AGENDAJENAYAH

13 Proton Wira disita keluarkan bunyi bising, ganggu ketenteraman awam

SIK, 2 APRIL: Tindakan sekumpulan lelaki berkumpul di kawasan parkir di Jalan Alamanda, di sini, dengan mengeluarkan bunyi bising kenderaan masing-masing mengundang padah apabila polis menyita 13 kereta Proton Wira dalam operasi malam tadi.

Tindakan mereka itu juga mengganggu ketenteraman awam ketika bulan Ramadan.

Selain Proton Wira yang disita dalam Ops Bersepadu dan Samseng Jalanan itu, polis turut menyita tiga motosikal kerana melakukan pelbagai kesalahan antaranya tiada cukai jalan, tiada lesen memandu dan nombor pendaftaran, lapor Berita Harian.

Ketua Polis Daerah Sik, Deputi Superintendan Abdull Razak Osman, berkata operasi disertai Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sik mulai jam 11 malam hingga 2 pagi tadi itu tertumpu di kawasan berkenaan berdasarkan maklumat yang diterima.

“Jumlah saman yang dikeluarkan dalam operasi ini adalah 101, termasuk 13 kenderaan dan tiga motosikal mengikut Seksyen 64(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

“Antara kesalahan yang dilakukan tiada lesen memandu, cukai jalan tamat tempoh, insuran, nombor pendaftaran, aksesori, cermin sisi dan mengubah suai ,” katanya.

Abdull Razak berkata, jumlah individu yang ditahan dalam operasi itu seramai tiga orang berusia 19 hingga 27 tahun membabitkan empat kes.

“Antara kesalahan adalah Seksyen 42 (1) APJ 1987 (dua kes), Seksyen 108 (3) (f) 1987 (satu kes) dan Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 (satu kes),” katanya.


Pengarang :