Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari beramah mesra bersama kanak-kanak orang kelainan upaya ketika merasmikan Pusat Prasekolah Anak Istimewa Selangor (AnIS) di Pusat Prasekolah AnIS Seksyen 7, Shah Alam pada 12 Januari 2023. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMAEXCONASIONAL

Selangor sedia peruntukan, khidmat sokongan bantu anak-anak autisme

Oleh DIANA ABD WAHAB

SHAH ALAM, 2 APRIL: Kerajaan Negeri menyediakan peruntukan besar bagi memberi khidmat sokongan dan program intervensi kepada anak-anak autisme di Selangor.

EXCO kesihatan awam berkata antara inisiatif yang disediakan khusus untuk golongan itu adalah Bantuan Khas Pusat Prasekolah Anak Istimewa Selangor (AnIS) meliputi bantuan menampung kos rawatan dan pendidikan.

“Inisiatif lain untuk anak autisme adalah penubuhan pusat AnIS yang menyediakan saringan dan intervensi termasuk bagi anak autisme serta pra-sekolah AnIS iaitu pra-sekolah khas bagi anak-anak istimewa termasuk anak autisme.

“Kita juga wujudkan Tanya AnIS iaitu platform sokongan untuk ibu bapa yang mempunyai kemusykilan berkenaan autisme dan anak istimewa selain Akademi AnIS yang menyediakan sokongan bagi ibu bapa dalam bentuk bengkel dan latihan tentang ilmu dan kemahiran dalam mendidik anak istimewa,” kata Dr Siti Mariah Mahmud menerusi Facebook.

Beliau berkata Selangor turut mewujudkan Pusat Sokongan Kehidupan Berdikari (ILSC) yang menyediakan latihan kerjaya bagi anak istimewa berusia antara 18 hingga 22 tahun untuk membantu mereka menyara hidup dan menjalani kehidupan.

Dr Siti Mariah menjelaskan inisiatif terbabit bertepatan dengan sambutan Hari Kesedaran Autisme Sedunia atau World Autisme Awareness Day (WAAD) yang disambut pada 2 April sejak 2008.

“Ia bertujuan meningkatkan kesedaran masyarakat dunia tentang autisme iaitu kecelaruan neurologi yang mengganggu otak secara kekal hingga mengakibatkan individu tersebut menghadapi masalah komunikasi, interaksi sosial dan tingkah laku sepanjang hidupnya.

Autisme dikesan seawal usia tiga tahun pertama kanak-kanak.

“Sokongan masyarakat sangat penting untuk mewujudkan negeri penyayang yang cakna dan menyokong anak istimewa termasuk menghapuskan stigma dan membantu apabila diperlukan. Anak istimewa anak kita,” katanya.


Pengarang :