Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari (kiri) dan bekas Mufti Besar Mesir Syeikh Dr Ali Jum’ah (tengah) menghadiri program Himpunan Ilmuwan Muda Timur Tengah di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam pada 24 Mei 2023. Foto ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

MB, ulama besar Mesir sertai himpunan bersama lebih 500 ilmuwan muda

SHAH ALAM, 24 MEI: Himpunan Ilmuwan Muda Timur Tengah berlangsung di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini malam ini, dengan dihadiri lebih 500 pelajar lepasan universiti dari negara-negara tersebut.

Majlis yang merupakan sebahagian atur cara sempena Festival Turath Islami Selangor itu dihadiri bekas Mufti Besar Mesir Syeikh Dr Ali Jum’ah.

Mengiringi tokoh ulama dunia ke program ilmu itu ialah Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari dan isteri Datin Seri Masdiana Muhamad.

Peserta yang hadir turut berpeluang mendengar amanat Syeikh Dr Ali Jum’ah berkenaan Fiqh Muwatonah (fekah kewarganegaraan) dan Empat Model Hidup Bersama.

Lebih 500 bekas pelajar lepasan universiti Islam Timur Tengah menghadiri program Himpunan Ilmuwan Muda Timur Tengah di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam pada 24 Mei 2023. Foto ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

Festival Turath Islami Selangor dianjur bagi mengangkat perbincangan dan penghayatan mengenai kitab Ihya’ Ulumuddin karya Imam al-Ghazali.

Program kali pertama dianjurkan dalam bahasa Melayu merangkumi lapan acara termasuk Daurah Afkar Ihya Ulumuddin, seminar penghayatan Ihya Ulumuddin dan interaksi bersama pemegang taruh seperti pimpinan pendidikan.

Dengan kerjasama Inisiatif Buku Darul Ehsan (IBDE), festival ini menyasarkan penyertaan 2,500 warga Selangor dan rakyat Malaysia.

IBDE yang menerima geran Kerajaan Negeri, bakal menterjemah 15 karya mulai tahun ini termasuk kitab Ihya Ulumuddin yang bakal diterbit dalam 20 siri dan dijangka siap sepenuhnya pada 2026.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari mengiringi bekas Mufti Besar Mesir Syeikh Dr Ali Jum’ah menghadiri program Himpunan Ilmuwan Muda Timur Tengah di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam pada 24 Mei 2023. Foto ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

 


Pengarang :