Pengerusi Bersama Limas Hee Loy Sian menyiram anak pokok yang baru ditanam sebagai tanda peringatan sempena sambutan Hari Wesak Peringkat Negeri Selangor 2023 di Taman Bodhi-Samadhi Vihara, Seksyen U12, Shah Alam pada 6 Mei 2023. Foto UPEN Selangor.
EXCOSELANGOR

Negeri prihatin masyarakat Buddha, tubuh Limas urus keperluan rumah ibadat 

Oleh AZIAN AZIZ

SHAH ALAM, 6 MEI : Kerajaan Negeri prihatin dengan cabaran yang dihadapi masyarakat Buddha terutama dari segi keperluan menyediakan prasarana rumah ibadat susulan pertambahan penganut dan program keagamaan.

EXCO Kerajaan Negeri Hee Loy Sian berkata Jawatankuasa Khas Agama Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Tao (Limas) ditubuhkan bagi menguruskan dan menyelesaikan isu berkaitan permohonan tanah dan hal ehwal berkaitan rumah ibadat selain Islam dengan lebih efisien.

“Kerajaan Negeri juga memperuntukkan RM8 juta sebagai bantuan kewangan kepada rumah-rumah ibadat selain Islam termasuklah tokong, kuil, gereja dan gurdwara yang diselaraskan oleh Limas.

“Peruntukan itu digunakan untuk membaik pulih rumah-rumah ibadat dan menjalankan aktiviti keagamaan masyarakat selain Islam,’” katanya.

Pengerusi Bersama jawatankuasa Khas Limas itu berkata demikian ketika berucap merasmikan sambutan Hari Wesak Peringkat Negeri Selangor di Taman Bodhi-Samadhi Vihara, Seksyen U12 di sini hari ini.

Majlis sambutan yang dihadiri lebih 1,000 orang terdiri daripada persatuan penganut agama Buddha diserikan dengan persembahan kebudayaan, acara menanam pokok peringatan dan pameran.

Turut diadakan ialah penyerahan sumbangan kepada tiga buah sekolah dan sebuah persatuan.

Pengerusi Bersama Limas Hee Loy Sian bergambar bersama penerima sumbangan sempena sambutan Hari Wesak Peringkat Negeri Selangor 2023 di Taman Bodhi-Samadhi Vihara, Seksyen U12, Shah Alam. pada 6 Mei 2023. Foto BERNAMA

Dalam pada itu, Loy Sian menyarankan agar masyarakat di Selangor yang terdiri daripada pelbagai kepercayaan agama dan latar belakang sosio-budaya agar menjauhi amalan ekstremis yang boleh menimbulkan suasana tidak tenteram.

“Budaya memupuk kasih sayang dan hormat menghormati antara satu sama lain harus diamalkan dalam kehidupan harian agar masyarakat boleh bersama-sama bergerak maju ke hadapan,’’ katanya.

Sementara itu, Dato’ Teng Chang Khim yang juga Pengerusi Bersama Jawatankuasa Khas Limas dalam ucapan melalui rakaman video berkata sambutan acara keagamaan secara besar-besaran merupakan manifestasi dasar kebebasan agama yang diamalkan Kerajaan Selangor.

“Walaupun perkara ini menjadi kebiasaan, nikmat dan keistimewaan ini harus dihargai rakyat Selangor yang berbilang kaum.

“Saya juga sarankan agar kita jauhi stigma kebencian dan tabur benih kasih sayang dalam kalangan masyarakat seperti yang terkandung dalam ajaran Buddha,” katanya.

 


Pengarang :