EXCO Hal Ehwal Orang Asli Hee Loy Sian (dua,kiri) memberi sumbangan bakul makanan kepada penduduk Kampung Orang Asli Sungai Dua, Pulau Ketam, Pelabuhan Klang pada 4 Mac 2022. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
EXCOSELANGOR

Bela kebajikan Orang Asli, negeri sedia pelbagai bantuan setiap tahun

SEPANG, 8 JUN: Pelbagai bantuan disediakan Kerajaan Negeri pada setiap tahun tanpa meminggirkan Orang Asli sekali gus memastikan kebajikan semua lapisan masyakat terbela.

EXCO hal ehwal Orang Asli berkata bantuan disediakan antaranya baik pulih infrastruktur, bina baharu perumahan, aktiviti kemasyarakatan, kenaikan elaun dan pemberian bonus kepada tok batin.

“Setiap tahun, Kerajaan Negeri peruntuk RM500,000 untuk buat jalan, infrastruktur dan baik pulih balai raya sedia ada selain dana RM10,000 khusus untuk penganjuran sebarang aktiviti.

“Bukan itu sahaja, setiap tahun kita juga menyediakan peruntukan RM1 juta untuk baik pulih atau bina rumah baharu. Pada tahun lepas sahaja, sebanyak 12 kediaman terima manfaat dengan setiap satu menelan belanja RM80,000.

“Selain meningkatkan kebajikan penduduk, Kerajaan Negeri juga mengambil beberapa langkah termasuk menambah gaji tok batin daripada RM900 dibayar Kerajaan Pusat kepada RM1,500 dan pemberian bonus,” kata Hee Loy Sian.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Balai Raya Kampung Orang Asli Bukit Baja yang turut dihadiri Ahli Dewan Negara, Senator Bob Maholan Mohamad.

Dalam perkembangan lain, Loy Sian menjelaskan semua tok batin akan mula menerima gaji minima RM1,500 bermula bulan ini.

“Kerajaan Negeri telah setuju beri elaun tambahan RM600 dan menjadikan gaji tok batin RM1,500 sebulan bermula Januari lalu.

“Namun berlaku kelewatan tetapi bermula bulan ini, tok batin terima gaji RM1,500 dan pembayaran elaun tambahan Kerajaan Negeri yang sepatutnya dibayar Januari juga akan dimasukkan,” katanya.


Pengarang :