Setiausaha Politik kepada Dato’ Menteri BesarAhli Juwairiya Zulkifli. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
ADNSELANGOR

Jemaah haji DUN Bukit Melawati dipelawa mohon insentif RM500

Oleh DIANA ABD WAHAB

KUALA SELANGOR, 14 JUN: Jemaah haji di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Melawati dipelawa memohon insentif Haji Muassasah bernilai RM500.

Ahli Dewan Negerinya Juwairiya Zulkifli berkata kuota bantuan jemaah haji yang disediakan Kerajaan Negeri masih terbuka dan jemaah masih boleh memohon.

“Memandangkan pendaftaran agak singkat, setakat ini kita sudah terima kira-kira 23 permohonan daripada penduduk di DUN Bukit Melawati.

“Bagaimanapun untuk jemaah yang berlepas awal ke Mekah kita masih lagi buka permohonan. Mereka boleh buat permohonan di pejabat selepas pulang ke tanah air,” katanya kepada Selangorkini selepas meninjau tapak pembuangan sampah yang baharu dibina di Jalan Sasaran Bukit Kuching, di sini.

Sebelum ini, Dato’ Menteri Besar mengumumkan seramai 3,000 jemaah menerima bantuan RM500 Haji Muassasah khusus untuk kumpulan berpendapatan rendah (B40) dan sederhana (M40).

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata inisiatif melalui Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI turut mengagihkan kit syifa seperti ubat-ubatan, cecair pembasmi kuman, losyen dan pelembap bibir.

Antara syarat permohonan ialah warganegara Malaysia yang beralamat di Selangor atau telah mendaftar haji di mana-mana cawangan Lembaga Tabung Haji di Selangor.

Pemohon yang beralamat di luar Selangor (kad pengenalan) tetapi menetap di Selangor masih boleh memohon insentif ini dengan syarat mengemukakan dokumen sokongan seperti bil air, api atau cukai pintu yang tertera nama pemohon.

Pemohon juga perlu mendapat pengesahan penawaran menunaikan haji muassasah tahun ini dari Lembaga Tabung Haji negeri Selangor.


Pengarang :