Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah berkenan bergambar bersama penerima dan pemenang ketika Pusingan akhir Liga Usahawan Wanita Selangor di Hotel Sunway Putra, Kuala Lumpur pada 21 Jun 2023. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Raja Muda berkenan nobat tiga wanita ikon usahawan Selangor 

Oleh DIANA ABD WAHAB

KUALA LUMPUR, 21 JUN:  Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Selangor berkenan menobatkan tiga wanita berpendapatan rendah (B40) sebagai pemenang pusingan akhir Liga Usahawan Wanita Selangor yang julung kali diadakan.

Dalam majlis penganugerahan anjuran Selangor Youth Community (SAY) di Hotel Sunway Putra  di sini hari ini, Tengku Amir Shah berkenan menyampaikan hadiah kepada pemenang pertama Sofea Chan Shu Fen Abdullah.

Sofea Chan yang juga seorang mualaf menjalankan perniagaan snek kulit popiah  jenama Pop Yummy.

Pemenang kedua ialah Nor Sabrina Nor Saidi yang menawarkan perkhidmatan jahitan pembalut stereng kenderaan diikuti usahawan kerepek sayuran Fauziah Abdus Somad di tempat ketiga.

Ketiga-tiga usahawan itu  membawa pulang piala dan geran perniagaan bernilai RM3,000. Mereka juga layak ke peringkat seterusnya iaitu Liga Usahawan  Wanita Selangor Plus yang menyediakan bimbingan antara tiga ke enam bulan.

Terdahulu, baginda yang mencemar duli menjadi juri pusingan akhir liga berkenaan mendengar pembentangan perniagaan semua usahawan wanita terbabit bersama empat juri selama tiga jam.

Baginda dan barisan juri kemudian melakukan penjurian untuk memilih ikon usahawan sebelum menyampaikan hadiah kepada pemenang dan sijil penyertaan kepada semua peserta.

Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah berkenan menyampaikan cek cura kepada pemenang utama Ikon Usahawan ketika Pusingan akhir Liga Usahawan Wanita Selangor di Hotel Sunway Putra, Kuala Lumpur pada 21 Jun 2023. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Penjurian turut dilakukan Penolong Pengarah Unit Pembangunan Ekonomi Negeri Selangor (UPEN) Intan Nur Aqielah Ismail, Pengurus Besar Koperasi Warga Hijrah Selangor Berhad (Kohijrah), Pegawai Pembangunan MARA Selangor Nurul Balkhis Arshad dan pengasas Ibupreneurs Aida Zunaidi.

Program Liga Usahawan Wanita Selangor antara pelbagai program berimpak tinggi yang dilaksanakan negeri dengan matlamat memperkasakan wanita B40 melalui pembinaan kemahiran, ilmu dan sumber yang diperlukan untuk menjana pendapatan mampan melalui peluang perniagaan.

Program ini berteraskan latihan keusahawanan, sokongan mentor dari industri, sokongan kewangan dari segi pinjaman dan geran, dan juga rangkaian strategik komuniti perniagaan.

Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah berkenan melawat rerui pameran Pusingan akhir Liga Usahawan Wanita Selangor di Hotel Sunway Putra, Kuala Lumpur pada 21 Jun 2023. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI


Pengarang :