Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berucap merasmikan simposium prapelancaran Rancangan Selangor Pertama (RS-1) 2021-2025 di Pusat Konvensyen MBSA, Shah Alam pada 7 Julai 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Agenda negeri pintar tarik minat pelabur, cipta peluang pekerjaan

SHAH ALAM, 25 JULAI: Pelaksanaan agenda digitalisasi ke arah Selangor negeri pintar ASEAN menjelang 2025 berjaya menarik kemasukan pelbagai jenis pelaburan

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata landskap sektor perkhidmatan yang sangat membugar turut mengukuhkan kedudukan negeri ini sebagai destinasi pelaburan.

“Ini (pelabur tertarik) sebab sektor perkhidmatan yang sangat menbugar dan persediaan kita daripada aspek digitalisasi.

“Dalam beberapa bulan ini kita dapat beberapa pelaburan yang besar iaitu RM3 bilion daripada sebuah pusat data Australia dan RM2 bilion (projek hab logistik antarabangsa Shah Alam),” katanya dalam sesi Town Hall Rakyat bersama Amirudin Shari di Seksyen 15, di sini, malam tadi.

Amirudin berkata ekonomi negeri yang terus berkembang saban tahun berjaya mencipta 89,000 peluang pekerjaan dalam tempoh lima tahun.

“(Walaupun) tahun lepas (pelaburan) kita nombor dua dan Johor (nombor satu) dengan RM70 bilion tapi jika ukur daripada segi peluang tenaga kerja, Selangor sentiasa terbesar.

“Dalam tempoh lima tahun kita hasilkan 89,000 peluang pekerjaan di negeri ini yang saya percaya menjemput kehadiran migrasi dari dalam dan luar negara,” katanya.

Sepanjang tahun lalu, Selangor menerima nilai pelaburan berjumlah RM60 bilion sekali gus mencipta 19,000 peluang pekerjaan.

Sebelum ini Amirudin berkata pada tiga bulan pertama antara Januari hingga Mac tahun ini pentadbirannya merekodkan sejumlah RM7.4 bilion nilai pelaburan.


Pengarang :