Orang ramai membawa pulang barangan yang dibeli pada Program Jualan Ehsan Rahmah Parlimen Ampang di Dewan Orang Ramai, Taman Sri Ampang, Ampang Jaya pada 12 Julai 2023. Foto MOHD YUSNI ARIFFIN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Ampang, Subang, Pandan antara lokasi jualan murah barangan dapur esok

Oleh Naz Norziela Nasbah

SHAH ALAM, 17 JULAI:  Program jualan murah barangan asas kendalian Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) diteruskan ke sembilan lokasi esok, mulai 10 pagi.

Jualan Ehsan Rahmah (JER) diadakan di Pangsapuri PKNS, Jalan 4M, Ampang Jaya (Parlimen Ampang), Masjid Subang Perdana (Parlimen Sungai Buloh), Dewan Orang Ramai Tok Muda (Parlimen Kapar) dan Dewan Merbau Seksyen 17 (Parlimen Shah Alam).

Program turut dianjurkan di Kampung Sungai Tua (Parlimen Gombak), Jalan Pandan Indah 6/3 (Parlimen Pandan), berhampiran Tokong Sey Ann Kong (Parlimen Tanjung Karang), Dewan Dato’ Nazir (Parlimen Hulu Langat) dan Sri Tanjung (Parlimen Subang).

Inisiatif meringankan beban rakyat itu menawarkan ayam standard RM10 seekor, daging pejal beku (RM10/pek), telur gred B (RM10 sepapan), ikan kembung (RM6/pek), minyak masak lima kilogram (RM25) dan beras lima kilogram (RM10). T

Terbaru, PKPS turut menjual minyak masak paket dan daging kiub di beberapa lokasi terpilih sebelum diperluaskan.

PKPS juga pernah menerima pengiktirafan Malaysia Book of Records (MBOR) menerusi jualan ayam dan telur bersubsidi terbesar dalam tempoh dua hari sempena Aidilfitri.

Pada 12 Julai, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata subsidi hampir RM23 juta dibelanjakan setakat ini bagi meringankan beban rakyat membeli barangan keperluan asas menerusi program jualan murah.

Orang ramai boleh menyemak lokasi lengkap jualan murah setiap hari (kecuali Jumaat dan cuti umum) di Facebook PKPS atau pautan http://linktr.ee/myPKPS.

 


Pengarang :