EXCO Kebudayaan Borhan Aman Shah bersama pengunjung melihat proses penghasilan Batik Selangor pada program Kenduri dan Rewang Sekampung DUN Tanjung Sepat pada 2 Julai 2023. Foto Facebook Borhan Aman Shah
EXCOSELANGOR

Batik Selangor akan dikomersial, diperluas pemakaian, jadikan industri pelancongan

Oleh DIANA ABD WAHAB

SHAH ALAM, 3 JULAI: Pengkomersialan Batik Selangor menjadi antara agenda pentadbiran negeri bagi memastikan pemakaian batik bermotif bunga tanjung terus diperluas.

EXCO Kebudayaan Borhan Aman Shah berkata inisatif itu juga bertujuan menjadikan Batik Selangor sebagai industri pelancongan sekali gus menjana hasil kepada negeri itu.


EXCO Kebudayaan Borhan Aman Shah mencanting Batik Selangor ketika di wawancara dalam program Selamat Pagi Malaysia yang bersiaran langsung dari Teratak Shah Bonda, Tanjung Sepat, Sepang pada 2 Julai 2023. Foto Facebook Borhan Aman Shah

“Kita telah wartakan Batik Selangor dan yang membezakan dengan negeri lain adalah batik kita berkonsepkan bunga tanjung kelopak sembilan.

“Ia sebagai simbolik melambangkan identiti negeri ini yang mempunyai sembilan daerah dengan menggunakan corak bermotifkan abstrak selain menghasilkan batik dengan mencanting bukan menggunakan blok,” katanya.

Terdahulu beliau muncul dalam sesi wawancara Selamat Pagi Malaysia yang bersiaran secara langsung dari Pantai Batu Laut, Tanjung Sepat, semalam.

Penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Sepat itu berkata selain pewartaan, Batik Selangor turut menjadi pakaian rasmi pimpinan Kerajaan Negeri, EXCO termasuk ahli dewan negeri (ADN) selain dalam proses menjadikannya pakaian rasmi penjawat awam di negeri ini.

Orang ramai mencanting Batik Selangor pada program Kenduri dan Rewang Sekampung DUN Tanjung Sepat pada 2 Julai 2023. Foto Facebook Borhan Aman Shah

Pada 16 Mac lalu Borhan dalam sidang Dewan Negeri Selangor memaklumkan Kerajaan Negeri sedang memperhalusi garis panduan pemakaian Batik Selangor dalam kalangan penjawat awam, yang akan dibentangkan tidak lama lagi.

Pada Disember tahun lalu, Kerajaan Negeri melancarkan Batik Selangor bermotifkan bunga tanjung berkelopak sembilan sebagai simbolik kepada sembilan daerah di negeri ini.


Pengarang :