Orang ramai menunggu giliran untuk menjalani pemeriksaan kesihatan percuma melalui program Selangor Saring peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis di Dewan Majlis Bandaraya Shah Alam Kemuning Utama pada 7 Ogos 2022. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
EXCOSELANGOR

Saringan kesihatan percuma di Banting Ahad ini, daftar di aplikasi SELangkah

Oleh DIANA ABD WAHAB

SHAH ALAM, 20 JULAI: Program pemeriksaan kesihatan Selangor Saring diteruskan di SJK (C) Jenjarom pada Ahad ini, mulai 9 pagi hingga 3 petang.

EXCO Kesihatan Dr Siti Mariah Mahmud berkata orang ramai berpeluang menjalankan pemeriksaan kesihatan fizikal, mata, gigi, telinga dan fisioterapi secara percuma.

“Orang ramai juga boleh melakukan ujian air kencing serta darah untuk saringan penyakit tidak berjangkit selain pengambilan sampel untuk saringan kanser.

“Peluang masih ada sekiranya anda dan ahli keluarga masih belum mendapatkan perkhidmatan kesihatan percuma Selangor Saring,” katanya di Facebook hari ini.

Dr Siti Mariah meminta orang ramai untuk melakukan pendaftaran segera menerusi aplikasi Langkah Masuk Dengan Selamat (SELangkah).

Selangor Saring diperkenal tahun lalu bagi membantu penduduk mengesan penyakit lebih awal, terutama yang mempunyai sejarah perubatan keluarga, obesiti dan gaya hidup tidak sihat.

Membabitkan kos RM3.4 juta yang ditanggung sepenuhnya Kerajaan Negeri, peserta boleh menjalani saringan air kencing, mata, barah pangkal rahim, payu dara dan prostat serta ujian darah.

Merekodkan 22,767 peserta sejak dilancarkan tahun lalu, sekitar 68 peratus individu dikesan menghidap penyakit kencing manis, kolesterol tinggi atau kedua-duanya.


Pengarang :