ADN Bukit Melawati Juwairiya Zulkifli bercakap kepada media ketika majlis pelepasan larian Bukit Melawati LebaRun 2023 di Dataran Malawati, Kuala Selangor pada 6 Mei 2023. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
ADNSELANGOR

Warga DUN Bukit Melawati nikmati manfaat projek pembangunan, baik pulih prasarana

Oleh Fhatihah Zakinan

SHAH ALAM, 12 JULAI : Warga Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Melawati menikmati pelbagai manfaat menerusi projek pembangunan, baik pulih prasarana dan inisiatif meringankan beban kehidupan.

Penyandangnya Juwairiya Zulkifli berkata antara projek yang dilaksanakan ialah pembinaan jeti terapung Kampung Asahan untuk nelayan bernilai RM100,000, yang kini menjadi pusat ekonomi dan riadah penduduk setempat.

“Selain itu, turut dibina ialah dewan terbuka Kompleks Komuniti Selangor Penyayang di Mukim Pasangan dengan kos RM336,000 yang dijangka siap menjelang Oktober ini.

“Inisiatif di bawah Projek Selangor Penyayang ini memberi manfaat kepada kira-kira 70,000 penduduk di empat kampung iaitu Kampung Tanjung Siam, Kampung Sasaran, Kampung Sepakat dan Kampung Kuantan Kampung Asahan,” katanya kepada Selangorkini.

Ahli Dewan Negeri Bukit Melawati Juwairiya Zulkifli membantu penduduk membungkus barangan yang dibeli di jualan murah Jelajah Ehsan Rakyat di Bukit Kuching, Jeram pada 6 September 2022. Foto Facebook Juwairiya Zulkifli

Juwairiya berkata Balai Raya Kampung Tanjung Keramat yang terbengkalai sejak berpuluh tahun lalu juga berjaya dibaik pulih dengan kos lebih RM200,000.

“Kita juga memperuntuk sejumlah RM250,000 untuk menyelenggara tapak perkuburan India di Mukim Api-Api.

“Antara pencapaian lain ialah penubuhan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) baharu di Kampung Tradisi Kampung Teluk Piai dan Tanjung Keramat,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata peruntukan yang disediakan Kerajaan Negeri digunakan sebaiknya untuk menyelesaikan isu serta memberi keselesaan kepada rakyat selain membantu golongan kurang berkemampuan.

“Tugas saya untuk berkhidmat kepada rakyat di setiap kampung dan taman di bawah DUN Bukit Melawati. Menjadi impian saya untuk melahirkan sebuah masyarakat yang sejahtera, harmoni dan gembira kehidupannya.

“Saya hanyalah pemegang amanah. Walaupun pelbagai cabaran, suka duka dan rintangan tetap saya hadapi demi rakyat yang saya kasihi. Saya harap dapat meneruskan khidmat kerana masih banyak program dan perancangan yang belum diselesaikan,” katanya.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Bukit Melawati Juwairiya Zulkifli meninjau klinik bergerak ketika Kempen Kesihatan Percuma DUN Bukit Melawati di Taman Senangin, Kuala Selangor pada 28 Mei 2023. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Pengarang :