Orang ramai mengunjungi Pesta Buku Antarabangsa Selangor 2022 yang berlangsung di Pusat Konvensyen MBSA, Shah Alam pada 11 Disember 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Pesta buku kanak-kanak, 10 pengunjung bertuah berpeluang menang RM500

SHAH ALAM, 12 JULAI: Seramai 10 pengunjung Pesta Buku Kanak-Kanak Selangor yang berlangsung hujung bulan ini berpeluang memenangi cabutan bertuah wang tunai bernilai RM500 setiap hari.

Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) memaklumkan cabutan bertuah itu bagi memeriahkan penganjuran pesta buku yang diadakan di Kompleks PKNS di sini, dari 27 hingga 30 Julai bermula 10 pagi hingga 10 malam.

“Selain itu, jualan buku dengan diskaun menarik dan pelbagai aktiviti akan berlangsung di sana nanti. Datang beramai-ramai,” katanya di Facebook hari ini.

Sebelum ini, Pengarah PPAS Datin Paduka Mastura Muhammad berkata beberapa penerbit buku kanak-kanak terkenal akan ditampilkan sepanjang empat hari penganjuran.

Pada 30 Mei Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari memaklumkan buat julung kali Kerajaan Negeri menganjurkan pesta buku kanak-kanak bagi menggalakkan budaya membaca selain pengembangan industri.

Sejak 16 tahun lalu, Kerajaan Negeri mengadakan Pesta Buku Selangor dan dijenamakan sebagai Pesta Buku Antarabangsa Selangor (SIBF) mulai tahun lepas yang merekodkan kehadiran lebih 200,000 pengunjung.

Berlangsung di Pusat Konvensyen Majlis Bandaraya Shah Alam, pesta buku berkenaan melibatkan 225 pempamer tempatan dan antarabangsa antaranya United Kingdom, Turki, North Macedonia, Korea Selatan dan Mesir.

 

 


Pengarang :