Dato’ Menteri Besar Dato’ Amirudin Shari berucap ketika Majlis Apresiasi Inovasi Negeri Selangor sempena Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur pada 22 Oktober 2023. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Dasar komersial harta intelek diperkenal, angkat produk inovasi sektor awam

KUALA LUMPUR, 23 OKT: Dasar Pengkomersialan Harta Intelek Pentadbiran Kerajaan Negeri Selangor (DPHIS) diperkenal bagi mengangkat produk inovasi dihasilkan sektor awam ke tahap lebih tinggi.

Dato’ Menteri Besar berkata pembentukan dasar itu sejajar hasrat meningkatkan aktiviti pengkomersialan harta intelek, hasil penyelidikan dan pembangunan (R&D) selain kreativiti dan inovasi yang dibiayai Kerajaan.

Dato’ Seri Amirudin Shari menjelaskan DPHIS juga bakal melengkapi dasar sedia ada negara berkait R&D, pembangunan teknologi, harta intelek dan pengkomersialan dengan mengambil kira keperluan agensi bawah pentadbiran negeri.

“Dasar ini merupakan inisiatif strategik pentadbiran ini bagi mengangkat produk inovasi yang berpotensi dikembang dan disebarluaskan melalui aktiviti pengkomersialan dan replikasi.

“Ia sekali gus menjadi pemangkin matlamat pengkomersialan harta intelek Malaysia dalam membentuk produk inovasi yang lebih berdaya saing dan kompetitif,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Ekspo Penyelidikan, Pembangunan dan Inovasi (SRIE) sempena Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) 2023 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur semalam.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menyampaikan hadiah kepada pemenang inovasi ketika Majlis Apresiasi Inovasi Negeri Selangor pada Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) pada 22 Oktober 2023. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Dalam acara sama, Amirudin turut melancarkan DPHIS sambil disaksikan Setiausaha Kerajaan Negeri Dato’ Haris Kasim dan EXCO Pembudayaan Inovasi Dr Mohammad Fahmi Ngah.

Sementara itu, beliau menjelaskan dasar berkenaan juga bagi memenuhi keperluan Revolusi Industri 4.0 (IR4.0), Smart Selangor dan Rancangan Selangor Pertama (RS-1).

Tambahnya, dasar terbabit mampu memberi hasil kepada kumpulan inovasi dan jabatan selain menjadi pendapatan tambahan kepada pentadbiran ini dalam jangka masa panjang.

“DPHIS yang dibentuk lebih realistik dan dapat dipraktikkan dalam pelaksanaan program pembangunan serta pembudayaan inovasi dengan mengambil kira elemen pulangan pelaburan,” katanya lagi.


Pengarang :