Orang ramai membeli barangan asas yang dijual murah berbanding harga pasaran ketika Jualan Ehsan Rahmah (JER) di Dewan Orang Ramai Batu 16, Dusun Tua, Hulu Langat pada 23 Oktober 2023. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Jualan murah barangan asas di empat lokasi pagi ini

SHAH ALAM, 22 NOV: Program jualan murah barangan asas kendalian Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) diteruskan ke empat lokasi hari ini.

Bermula 10 pagi, Jualan Ehsan Rahmah (JER)  diadakan di pekarangan rumah MPKK Parit 4 Timur (Sabak), Jalan Bistari Kampung Sungai Tangkas (Sungai Ramal), pekarangan Masjid Bandar Utama Batang Kali (Kuala Kubu Bharu) dan ruang parkir Worldwide@7 Shah Alam (Kota Anggerik).

Program JER menawarkan ayam standard RM10 seekor, daging pejal segar (RM10 setiap pek), telur gred B (RM10 sepapan), ikan kembung (RM6 setiap pek), minyak masak lima kg (RM25) dan beras lima kg (RM10).

Pada 22 September, EXCO Pertanian Ir Izham Hashim berkata Selangor membelanjakan subsidi berjumlah RM40 juta untuk melaksanakan jualan murah di hampir 2,850 lokasi yang memanfaatkan lebih 5 juta rakyat.

Selain menganjurkan jualan murah di lokasi terpilih pada setiap hari kecuali Jumaat dan cuti umum, PKPS turut menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan Segi Fresh bagi memperluas capaian kepada penduduk setempat.

Pasar raya itu dilantik sebagai rakan strategik PKPS bagi pelaksanaan program JER termasuk penyediaan lokasi jualan dan logistik di 55 premis Segi Fresh.

PKPS juga pernah menerima pengiktirafan Malaysia Book of Records (MBOR) menerusi jualan ayam dan telur bersubsidi terbesar dalam tempoh dua hari sempena Aidilfitri.

Mulai 2022, Kerajaan Negeri melancarkan program jualan murah, lanjutan Program Agro Prihatin Selangor yang diperkenal pada 2 Jun 2021 menerusi Pakej Kita Selangor 2.0. Ia bertujuan mengatasi lambakan hasil tani akibat pandemik Covid-19.

Program itu kemudian dijenamakan sebagai Jualan Prihatin Rakyat pada 28 Februari 2022. Pelaksanaannya dilanjutkan sehingga Julai 2022. Pada 30 Ogos 2022, ia diumumkan pula sebagai Jualan Ehsan Rakyat.

Ia kemudian ditukar kepada Jualan Ehsan Rahmah selepas PKPS bekerjasama dengan  Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup.

Lokasi terkini jualan murah boleh disemak di Facebook PKPS atau mengimbas kod QR di poster jualan atau pautan linktr.ee/myPKPS.


Pengarang :