Orang ramai membeli barangan keperluan asas pada program Jualan Ehsan Rahmah DUN Seri Serdang di Jalan LEP, Subang Jaya pada 23 Oktober 2023. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Jualan murah: PKPS had belian, pastikan semua pengunjung dapat manfaat

SHAH ALAM, 23 NOV: Kerajaan Negeri menegaskan tidak berlaku isu pilih kasih atau memberi keutamaan kepada golongan tertentu untuk membeli barangan di program jualan murah negeri.

EXCO pertanian berkata Jualan Ehsan Rahmah (JER) yang dikendalikan Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) menetapkan had pembelian bagi memastikan semua pengunjung dapat membeli barangan murah.

“Kita memang syaratkan JER tidak dibuka kepada warga asing sebaliknya rakyat perlu datang awal dan yang penting bawa kad pengenalan.

“Kita memang menghadkan ayam seekor dan barangan lain juga dihadkan supaya semua (individu) yang hadir dapat manfaat ini.

“Ini antara perkara yang kita rasa tidak timbul isu kronisme atau keutamaan kepada pihak tertentu kerana JER untuk rakyat Selangor mendapatkan barangan asas pada harga berpatutan,” kata Ir Izham Hashim.

Beliau berkata demikian menjawab soalan tambahan wakil rakyat Sungai Burong Mohd Zamri Mohd Zainuldin berhubung wujud isu kronisme dalam program JER di sidang Dewan Negeri Selangor hari ini.

Program JER menawarkan ayam standard RM10 seekor, daging pejal segar (RM10 setiap pek), telur gred B (RM10 sepapan), ikan kembung (RM6 setiap pek), minyak masak lima kg (RM25) dan beras lima kg (RM10).

Selain menganjurkan jualan murah di lokasi terpilih pada setiap hari kecuali Jumaat dan cuti umum, PKPS turut menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan Segi Fresh bagi memperluas capaian kepada penduduk setempat.

Pasar raya itu dilantik sebagai rakan strategik PKPS bagi pelaksanaan program JER termasuk penyediaan lokasi jualan dan logistik di 55 premis Segi Fresh.

PKPS juga pernah menerima pengiktirafan Malaysia Book of Records (MBOR) menerusi jualan ayam dan telur bersubsidi terbesar dalam tempoh dua hari sempena Aidilfitri.

Mulai 2022, Kerajaan Negeri melancarkan program jualan murah, lanjutan Program Agro Prihatin Selangor yang diperkenal pada 2 Jun 2021 menerusi Pakej Kita Selangor 2.0. Ia bertujuan mengatasi lambakan hasil tani akibat pandemik Covid-19.

Program itu kemudian dijenamakan sebagai Jualan Prihatin Rakyat pada 28 Februari 2022. Pelaksanaannya dilanjutkan sehingga Julai 2022. Pada 30 Ogos 2022, ia diumumkan pula sebagai Jualan Ehsan Rakyat.

Ia kemudian ditukar kepada Jualan Ehsan Rahmah selepas PKPS bekerjasama dengan  Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup.


Pengarang :