Penduduk Palestin menunaikan solat sunat Aidilfitri di jalan raya berhampiran bangunan yang hampir ranap pada 10 April 2024. Foto REUTERS
BERITA UTAMAPENDAPATRENCANA

Derita Syawal, penduduk Palestin sambut raya di celah runtuhan bangunan

Belum reda kesengsaraan rakyat Palestin di Gaza yang menyambut Ramadan dan Syawal sejak diserang bertubi-tubi Israel, pada Oktober lalu, suhu geopolitik di Timur Tengah kini semakin menggelegak.

Serangan balas ratusan dron dan peluru berpandu Iran ke atas Israel pada 13 April, ketika umat Islam masih menyambut Syawal, menajamkan lagi konflik di Asia Barat.

Tindak balas itu dianggap sebagai hukuman kebiadaban Israel yang menyerang Kedutaan Iran di Damsyik, Syria pada 1 April. Serangan udara itu mengorbankan 13 orang.

Seorang wanita membakar masakan tradisi dua hari menjelang Aidilfitri di sebuah khemah Rafah, selatan Gaza pada 8 April 2024. Foto REUTERS

Konflik yang makin tegang itu pasti meresahkan lagi warga Gaza yang menyambut hari kebesaran Islam itu di celah-celah runtuhan bangunan dengan kebuluran dan krisis ubat-ubatan.

Sejak konflik Palestin-Israel meletus tujuh bulan lalu, setakat 17 April, lebih 34,300 nyawa terkorban khususnya wanita dan kanak-kanak. Lebih 76,000 individu cedera dan lebih 8,000 lagi hilang.

Pada 19 April, seminggu selepas tindak balas Iran, Israel dilaporkan menyerang tengah Iran sekitar Isfahan, selatan Tehran, yang menempatkan pangkalan tentera. Ketika ini, suasana masih belum jelas.

Sekumpulan wanita sebak ketika menziarahi pusara ahli keluarga yang terbunuh akibat serangan Israel di Rafah pada 1 Syawal (10 April 2024). Foto REUTERS

Malaysia menyifatkan serangan Iran minggu lalu sebagai “tindakan yang sah”, malah berpuas hati jaminan negara itu untuk tidak memburukkan lagi konflik kecuali diserang semula oleh Israel.

“Bersama negara-negara bertamadun yang lain, Malaysia menggesa rejim Zionis Israel untuk tidak mengambil apa-apa lagi tindakan balas yang akan memburukkan lagi keadaan tegang di Timur Tengah.

“Terdapat tanda yang jelas bahawa masyarakat antarabangsa tidak mahu melihat keadaan yang lebih buruk lagi,” kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 15 April lalu.

Sekumpulan kanak-kanak bermain di tengah puing runtuhan bangunan di Bandar Gaza ketika sambutan Aidilfitri pada 11 April 2024. Foto REUTERS

Iltizam Anwar yang tekal berjuang membela nasib Palestin tidak pernah padam sejak dahulu. Di pentas antarabangsa, ketegasan beliau membela Palestin sudah dikenali ramai.

Beliau turut menempelak sikap bungkam pemimpin kuasa-kuasa besar dunia terhadap isu Palestin termasuk di depan Presiden Amerika Syarikat Joe Biden pada 17 November dan Canselor Jerman Olaf Scholz pada 11 Mac.

Di samping itu, Anwar yang juga menteri kewangan menegaskan Malaysia menyalurkan bantuan kemanusiaan sebanyak 100 kontena yang dijangka berlepas pada 27 April depan.

Hubungan baik Malaysia dengan Mesir memudahkan Anwar membantu menyatukan semula aktivis negara ini Muhammad Nadir Al-Nuri dengan isteri dan anak-anaknya dari Rafah sehari sebelum sambutan Aidilfitri.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isteri Datuk Seri Dr Wan Azizah meluangkan masa bertemu keluarga aktivis kemanusiaan Muhammad Nadir Al-Nuri di Kompleks Seri Perdana, Putrajaya pada 17 April 2024. Nadir sebelum ini terpisah dengan keluarganya sejak serangan Israel pada Oktober tahun lalu. Foto Facebook Anwar Ibrahim

Selaku ketua pegawai eksekutif Cinta Gaza Malaysia (CGM), Nadir menghargai perdana menteri yang berjaya membawa keluar keluarganya dari zon perang itu.

“Semoga kita terus bersatu membela nasib saudara kita, menjadi jaguh di peringkat dunia dan berani mengiringi kata-kata dengan langkah di alam nyata,” tulis Nadir di Facebook pada 15 April.

Inisiatif Anwar turut dipuji oleh Ketua Penerangan PAS Ahmad Fadhli Shaari.

Kematian remaja berusia 17 tahun Yazan Ishtayeh ditangisi keluarganya. Mangsa diserang berdekatan Nablus, utara Tebing Barat pada 15 April 2024. Foto REUTERS

Sementara Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor pula menyeru semua pihak membangunkan semula Gaza yang musnah akibat serangan Israel melalui Tabung Pembangunan Ihsan Selangor-Gaza yang dilancar pada 28 Mac.

Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj menyeru sumbangan itu disalurkan melalui Tabung Infak Jariah Umat Islam Selangor (Tijari) yang dikendalikan oleh Jabatan Agama Islam Selangor (Jais).

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari memaklumkan, sehingga 10 April, sejumlah RM2 juta berjaya dikumpul tabung tersebut.

Pada 2021, Selangor menyalurkan dana hasil derma ramai untuk bantuan ubatan, makanan, set penjana elektrik, bahan bakar dan kenderaan seperti ambulans.

 

 

 

 

 

 

 

 

 


Pengarang :