Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari mempersembah replika Masjid Darul Ehsan Gaza kepada DYMM Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj sempena pelancaran Tabung Pembangunan Ihsan Selangor-Gaza dan majlis berbuka puasa di Masjid Kota Kemuning, Shah Alam pada 28 Mac 2024. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Sultan seru rakyat salur sumbangan bangunkan semula Gaza

SHAH ALAM, 29 MAC: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor menyeru semua pihak memberi sumbangan bagi membangunkan semula Gaza yang musnah akibat serangan Israel.

Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj juga berkenan agar sumbangan itu diselaras Tabung Infak Jariah Umat Islam Selangor (TIJARI) supaya dana diurus secara tersusun, bertanggungjawab, telus dan lancar.

“Sumbangan boleh disalur ke nombor akaun 562106718620. Beta mendoakan semoga Allah SWT memberi ganjaran amal soleh atas infak yang disumbangkan rakyat negeri Selangor dalam membantu umat Islam di Gaza,” titah Baginda menerusi kenyataan.

DYMM Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj berkenan bersalaman dengan tetamu jemputan sempena majlis perasmian masjid dan berbuka puasa bersama rakyat di Masjid Kota Kemuning, Shah Alam pada 28 Mac 2024. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Terdahulu Sultan Sharafuddin berkenan melancarkan Tabung Pembangunan Ihsan Selangor-Gaza ketika merasmikan Masjid Kota Kemuning dan majlis berbuka puasa bersama rakyat.

Tabung berkenaan merupakan inisiatif Kerajaan Negeri bersama Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) bagi membangunkan semula Gaza.

Ia melibatkan pembinaan tiga projek bernilai RM8.7 juta iaitu satu blok Apartment Darul Ehsan (RM3 juta), Masjid Darul Ehsan (RM4 juta) dan menara tangki air Darul Ehsan (RM1.7 juta).

Baginda juga berkenan menerima sumbangan dana umat Islam Selangor sebanyak RM1.2 juta, Majlis Agama Islam Selangor berjumlah RM200,000 serta sumbangan peribadi Dato’ Menteri Besar sebanyak RM50,000.

Hujung tahun lalu, Dato’ Seri Amirudin Shari memaklumkan Selangor bakal mewujudkan perumahan dan masjid bagi membantu pembinaan semula Palestin yang musnah dibedil Israel selepas peperangan selesai.

 


Pengarang :