AGENDANASIONAL

Sultan Selangor zahir ucapan takziah kepada keluarga Tun Hanif Omar

SHAH ALAM, 20 APRIL: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor dan DYMM Tengku Permaisuri menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga bekas Ketua Polis Negara (KPN) Tun Mohammed Hanif Omar yang meninggal dunia pada awal pagi tadi di usia 85 tahun.

Sultan Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj bertitah Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj telah mengurniakan Darjah Kebesaran Dato’ Seri Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (S.S.S.A.) pada 1992 atas jasa dan sumbangan yang dicurahkan Allahyarham.

“Allahyarham Tun Mohammed Hanif merupakan Ketua Polis Negara Ke-4 dan pernah memegang jawatan tersebut selama 20 tahun, dari tahun 1974 sebelum bersara secara rasmi pada 16 Januari 1994.

“Allahyarham juga pernah dilantik sebagai Ketua Polis Selangor pada tahun 1971 dan berkhidmat selama dua tahun,” titah Baginda menerusi kenyataan di Facebook Selangor Royal Office.

Baginda berdua turut mendoakan roh Allahyarham dicucuri rahmat dan ditempatkan bersama orang-orang beriman serta beramal soleh.


Pengarang :