AGENDABERITA UTAMASUKANKINI

Selangor Asia Challenge buka tirai 26 April, Gergasi Merah cabar tiga pasukan

SHAH ALAM, 20 APRIL: Skuad Gergasi Merah bakal berdepan dengan tiga pasukan pada kejohanan pramusim Selangor Asia Challenge (SAC) 2024 edisi kedua yang membuka tirai 26 April ini.

Tiga pasukan itu ialah Balestier Khalsa (Singapura), Young Elephants (Laos) dan Duli Pengiran Muda Mahkota FC (DPMM FC) (Brunei Darussalam).

Ketua pegawai eksekutif Selangor FC berkata kehadiran tiga pasukan itu memantapkan lagi persiapan pramusim kesemua pasukan termasuk Selangor.

Dr Johan Kamal Hamidon berkata acara itu mendedahkan pasukan kepada cabaran yang bakal dihadapi apabila bersaing dalam Liga Juara-Juara AFC 2 (ACL2).

Ketua Pegawai Eksekutif Kelab Bola Sepak Selangor (Selangor FC) Dr Johan Kamal Hamidon berucap ketika majlis Penajaan Rasmi Citadel Group Tech X Selangor FC di Pusat Latihan Selangor FC, Shah Alam pada 24 November 2023. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

“Selangor FC amat gembira kerana dapat menjadi tuan rumah edisi kedua kejohanan SAC. Pengurusan (pasukan) berusaha memberi lebih banyak pendedahan kepada pasukan agar mereka mendapat persiapan pra-musim yang baik musim ini.

“Di samping itu, SAC juga akan memberi peluang kepada penyokong untuk menyaksikan perlawanan pramusim yang kompetitif dan berkualiti,” katanya dalam kenyataan di laman sesawang Selangor FC.

SAC dianjur buat kali pertama pada 2020 dengan menampilkan empat pasukan iaitu Selangor, Bangkok United (Thailand), Hanoi FC (Vietnam) dan Persib Bandung (Indonesia).

Edisi lalu menyaksikan Bangkok United muncul juara selepas mengatasi cabaran Gergasi Merah 4-2 menerusi penentuan sepakan penalti.

Semua perlawanan SAC 2024 bakal berlangsung di Stadium MBPJ, Kelana Jaya jam 5 petang dan 9 malam pada 26 dan 28 April.


Pengarang :