Antara pengunjung yang hadir melihat manuskrip al-Quran tulisan tangan berusia ratusan tahun di Pameran Al-Wahyu sempena Festival Turath Islami Selangor di Masjid Negeri, Shah Alam pada 26 Mei 2024. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONALPILIHAN MINGGUAN

22 manuskrip tulisan tangan ratusan tahun ada dalam Pameran Al-Wahyu 

SHAH ALAM, 26 MEI: Sebanyak 22 manuskrip tulisan tangan terdapat dalam Pameran Al-Wahyu sempena Festival Turath Islami Selangor yang membuka tirainya di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, di sini, hari ini.

EXCO Hal Ehwal Agama Islam Dr Mohammad Fahmi Ngah mempelawa orang ramai mengunjungi pameran yang mengetengahkan manuskrip tokoh Melayu nusantara berusia ratusan tahun sepanjang festival hingga 2 Jun.

EXCO Hal Ehwal Agama Islam Dr Mohamad Fahmi Ngah pada majlis pembukaan Pameran Al-Wahyu sempena Festival Turath Islami Selangor 2024 di Masjid Negeri, Shah Alam pada 26 Mei 2024. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/SELANGORKINI

“Turath bermaksud warisan dan hari ini kita tampilkan sumbangan orang Melayu nusantara dahulu yang menyumbang kepada penulisan tangan al-Quran dan pembentukan aksara jawi.

“Secara peribadi saya teruja melihat kepada perkara yang dilaksanakan nenek moyang kita sebelum ini dan Alhamdulillah perkara itu dibukukan menjadi tatapan kita pada hari ini.

“Justeru, saya menjemput orang ramai khususnya rakyat Selangor datang ke pameran ini bawa anak terutama pada musim cuti sekolah ini,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Pameran Al-Wahyu: Tradisi Keilmuan Islam Alam Melayu di sini.

EXCO Hal Ehwal Agama Islam Dr Mohamad Fahmi Ngah (tengah) melawat pameran selepas merasmikan Pameran Al-Wahyu sempena Festival Turath Islami Selangor di Masjid Negeri, Shah Alam pada 26 Mei 2024. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/SELANGORKINI

Menurut Dr Mohammad Fahmi, beliau amat mengagumi tokoh ilmuwan Melayu terdahulu yang memiliki keberanian dan kepakaran untuk mencetus inovasi berdasarkan kepada ilmu Islam.

“Insya-Allah, kita berhasrat untuk menjadikan orang melayu Islam lebih ada jati diri dan keyakinan untuk kita tempuh dan terus bangunkan agama Islam di alam ini sekali gus melahirkan inovasi baharu berdasarkan kepada ilmu dalam Islam.

“Orang Melayu Islam maju pada zaman dahulu kerana mereka sudah ada keberanian hasil perpaduan yang wujud di nusantara dan perpaduan yang wujud antara Melayu dengan bangsa Arab di Mekah suatu ketika dahulu.

“Dengan adanya perkara ini, ilmu boleh dipelajari dan disampaikan. Justeru, ini merupakan asas penting yang kita cuba bawa iaitu Selangor jadi peneraju kepada pengembangan konsep Turath Islamiah di Malaysia,” katanya.

Sekumpulan pelajar teruja melihat manuskrip al-Quran tulisan tangan berusia ratusan tahun di Pameran Al-Wahyu sempena Festival Turath Islami Selangor di Masjid Negeri, Shah Alam pada 26 Mei 2024. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/SELANGORKINI

Pameran Al-Wahyu turut mempamerkan kitab dari Pusat Kebangsaan Manuskrip Melayu, Perpustakaan Negara Malaysia dan koleksi individu.

Koleksi yang dibawa dari Muzium Al-Quran Narrathiwat, Thailand turut mempamerkan naskhah al-Quran bertinta emas yang dihasilkan ketika pemerintahan Sultan Terengganu ke-9, Sultan Ommar Muazzam Riayat Shah sekitar tahun 1800.

Festival siri kedua anjuran Kerajaan Selangor menampilkan lebih 20 ulama terkenal, tokoh agamawan dan akademik dari Malaysia, Indonesia, Thailand dan Singapura dalam 12 acara utama dan dijangka disertai 30,000 peserta.

Maklumat lanjut boleh dicapai melalui laman web www.turathislamiselangor.com atau Facebook Festival Turath Islami Selangor.

Antara pengunjung Pameran Al-Wahyu sempena Festival Turath Islami Selangor di Masjid Negeri, Shah Alam pada 26 Mei 2024. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/SELANGORKINI

Pengarang :