Jaguh berbasikal trek negara Datuk Mohd Azizulhasni Awang memenangi emas acara pecut lelaki elit Kejohanan Berbasikal Trek 2024 di Velodrom Nasional pada 21 Mei 2024. Foto Facebook Azizulhasni Awang
AGENDASUKANKINI

Azizulhasni pertahan emas, kekal jaguh keirin negara

NILAI, 22 MEI: Jaguh berbasikal trek negara Datuk Mohd Azizulhasni Awang melengkapkan penampilan terakhir di Kejohanan Berbasikal Trek Kebangsaan dengan mempertahankan emas keirin lelaki elit pada edisi 2024 di Velodrom Nasional di sini hari ini.

Walaupun ketinggalan di awal saingan situasi tersebut tidak menggoyahkan Azizulhasni apabila berjaya keluar daripada kepungan pelumba lain sebelum melakukan henjutan di pusingan akhir untuk menyumbang emas buat Terengganu.

Dua lagi pelumba dari Johor iaitu pemenang gangsa keirin lelaki Sukan Komanwel 2022 Muhammad Shah Firdaus Sahrom serta adiknya Muhammad Ridwan masing-masing membawa pulang perak dan gangsa.

Bekas juara dunia keirin 2017 itu menyifatkan kemenangan diraihnya hari ini merupakan keputusan yang baik selepas menerima tentangan sengit daripada Muhammad Shah Firdaus, Muhammad Ridwan serta Muhammad Fadhil Mohd Zonis yang mewakili Selangor.

“Walaupun Muhammad Fadhil cuba memecut laju di awal saingan saya tidak panik. Ada juga pelumba lain yang menghimpit dan mahu keluar dahulu daripada kepungan, namun saya memilih untuk terus tenang (sebelum menang),” katanya kepada pemberita selepas perlumbaan hari ini.

Azizulhasni yang mengakui berlumba dalam keadaan kurang sihat selepas memenangi emas pecut lelaki elit dengan menewaskan Muhammad Ridwan semalam, memutuskan untuk tidak beraksi dalam acara ujian masa 1 kilometer (km) lelaki elit pada hari terakhir kejohanan esok.

Selepas diberi cabaran hebat oleh Muhammad Ridwan pada acara pecut semalam, pemenang pingat dua kali Sukan Olimpik itu sekali lagi kagum dengan prestasi pelumba muda itu dan optimis mampu menggegarkan trek dalam masa dua tahun lagi.

Dalam pada itu, bintang sedang meningkat naik Nurul Izzah Izzati Mohd Asri merangkul emas untuk Kedah bagi saingan keirin wanita elit.

Pelumba berbasikal trek berusia 20 tahun itu yang bakal membuat penampilan sulung di Sukan Olimpik 2024, meninggalkan pencabarnya dari Selangor Yong Ann Tung untuk perak manakala gangsa milik atlet dari Pulau Pinang Nurul Aliana Syafika Azizan.

Sukan Olimpik 2024 di Paris dijadual bermula 26 Julai hingga 11 Ogos ini.

— BERNAMA


Pengarang :