Bekas Mufti Besar Mesir, Prof Dr Ali Jum’ah menyampaikan syarahan ketika Festival Turath Islami Selangor di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam pada 20 Mei 2023 . Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Festival turath timbulkan kecintaan, dekatkan masyarakat dengan karya warisan Islam

SHAH ALAM, 23 MEI: Penganjuran Festival Turath Islami Selangor yang bermula Ahad ini, bertujuan menimbulkan minat dan mendekatkan masyarakat dengan karya warisan Islam.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata program keilmuwan yang bermula tahun lalu itu merupakan kesinambungan daripada usaha penterjemahan yang dilaksana Inisiatif Buku Darul Ehsan (IBDE).

“Sudah pasti penganjuran program turath adalah satu usaha kesinambungan yang bukan hanya bersifat sekali lalu (one-off). Kita laksanakan bermula dengan penterjemahan yang dibuat IBDE.

“Selain itu, penganjuran festival ini juga bagi menimbulkan minat kecintaan dan juga mendekatkan orang ramai pada karya-karya warisan Islam,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika dijemput sebagai tetamu dalam rancangan Selamat Pagi Malaysia terbitan RTM yang turut disiarkan secara langsung menerusi Facebook, hari ini.

Wawancara sempena Festival Turath Islami Selangor itu turut disertai Pengarah Eksekutif IBDE merangkap pengarah program festival turath, Farhan Affandi.

Dalam pada itu, Amirudin mengulangi hasrat menjadikan bandar raya Shah Alam dan beberapa bandar lain di Selangor berkembang sebagai pusat keilmuwan bagi karya warisan dan pengajian Islam.

Beliau menjelaskan ia selaras visi pentadbirannya untuk menghidupkan Selangor terutama dalam pemahaman agama dan kehidupan dengan asas ilmu.

“Harapan besar saya untuk melihat Shah Alam dan bandar lain berkembang menjadi pusat keilmuwan karya-karya dan pengajian Islam secara kemas dan tersusun.

“(Ini) termasuk pemahaman tentang agama dan kehidupan dengan asas ilmu yang ditonjolkan dan digambarkan dengan karya lama yang menjadi warisan turun temurun masyarakat,” katanya.

Amirudin dalam ucapan perasmian Muzakarah Ulama Umara sempena Festival Turath Islami tahun lalu meluahkan hasrat menjadikan Shah Alam sebagai pusat keilmuan terkemuka Islam yang menjadi rujukan pelbagai pihak.

Beliau turut membayangkan ibu negeri berkenaan memainkan peranan seumpama Baitul Hikmah di Baghdad, Iraq dan Universiti al-Qarawiyyin di Al-Azhar, Mesir.

Baitul Hikmah yang ditubuhkan Kerajaan Abbasiyah pada Zaman Keemasan Islam pada abad pertengahan menjadi lokasi tumpuan cendekiawan Islam dalam pelbagai cabang pengetahuan.

Festival Turath Islami Selangor yang membuka tirai pada 26 Mei hingga 2 Jun bakal mengupas karya agung Imam Nawawi dengan lebih mendalam membabitkan ulama tradisional serta ahli akademik.

Berlangsung di tiga lokasi termasuk Masjid Negeri, festival itu turut menampilkan bekas Mufti Besar Mesir Syeikh Professor Dr Ali Jum’ah yang akan mengupas Kitab Hadis 40.

Maklumat lanjut boleh dicapai melalui laman web www.turathislamiselangor.com atau Facebook Festival Turath Islami Selangor.

 


Pengarang :