Pengerusi Lembaga Zakat Selangor (LZS) Tan Sri Syed Anwar Jamalullail (tengah) menyerahkan buku laporan prestasi kepada Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) Tan Sri Dato’ Seri Abdul Aziz Mohd Yusof (dua, kiri) ketika Sidang Media Prestasi Kutipan dan Agihan Zakat 2023 di Hotel Mardhiyah, Shah Alam pada 23 Mei 2024. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

LZS kemuka laporan zakat 2023, mahu telus dalam agihan

SHAH ALAM, 23 MEI: Lembaga Zakat Selangor (LZS) menjadi institusi zakat pertama mengeluarkan laporan pencapaian prinsip alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) berhubung urusan kutipan dan agihan.

Pengerusinya Tan Sri Syed Anwar Jamalullail berkata Laporan Kelestarian LZS 2023 menunjukkan komitmen pihaknya terhadap ketelusan sepanjang menjalankan amanah dan tanggungjawab.

“Laporan ini lebih telus. Kita lakukan ikut proses. Buat audit akaun dan bawa ke lembaga pengarah sebelum buat pengumuman mengenai akaun.

“Jadi orang tahu kemana kutipan dibuat. Ini pertama kali kita laksanakan. Tak wajib namun kita lakukan sebagai inisiatif sendiri,” katanya pada sidang media kutipan dan agihan zakat 2023 hari ini.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Mohd Sabirin Mohd Sarbini berkata pihaknya menjangka golongan asnaf meningkat kepada 157,000 keluarga menjelang 2030.

“Setakat ini hampir 70,000 keluarga asnaf dibantu mengikut statistik yang ada. Keluarga ini memiliki pendapatan isi rumah bawah RM2,990 sebulan dan perlu dibantu,” katanya.

Beliau berkata pihaknya turut berkongsi data dengan Kerajaan Negeri untuk mengesan golongan yang perlu mendapat bantuan.

“LZS juga menjalankan operasi harian bagi menjejak individu memerlukan selain melaksanakan bancian,” katanya.

Bulan lalu, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata pentadbiran negeri meletakkan sasaran untuk menghapuskan keluarga miskin tegar selewat-lewatnya pada Julai ini.

Bagi mencapai matlamat berkenaan, pihaknya memasukkan keluarga berkenaan sebagai penerima Bantuan Kehidupan Sejahtera Selangor (Bingkas), layak menerima bantuan RM300 sebulan atau RM3,600 setahun.


Pengarang :