Bekas Mufti Besar Mesir, Sheikh Profesor Dr Ali Jum’ah mengupas kitab Hadith 40 ketika pembukaan Festival Turath Islami Selangor di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam pada 26 Mei 2024 . Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

MB rasmi festival turath, 1,000 pengunjung hadir termasuk luar negara

SHAH ALAM, 26 MEI: Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari merasmikan Festival Turath Islami Selangor 2024 hari ini.

Lebih 1,000 pengunjung termasuk dari luar negara seperti Indonesia, Thailand, Singapura dan Brunei hadir ke majlis di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini.

Hadir sama Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) Dato’ Mohd Shahzihan Ahmad, Datuk Bandar Shah Alam Ir Cheremi Tarman dan beberapa Ahli Dewan Negeri.

Festival turut menghimpunkan pelajar tahfiz dari Maahad Al-Imam Al-Adni, Seksyen 8 Shah Alam, Pondok Tarbiyah Haji Siraj Paya Jaras, Maahad Hafiz Klang dan Sekolah Rendah Hafiz Sungai Pinang.

Majlis dimulakan dengan bacaan surah al-Hujurat ayat 12 hingga 18 yang dialunkan oleh juara Musabaqah Mazamir Dawud di Algeria, Ahmad Azfar Azraie.

Ribuan pengunjung menghadiri Festival Turath Islami Selangor di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam pada 26 Mei 2024 . Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Amirudin ketika berucap berkata 32 aktiviti dalam 11 acara disusun Kerajaan Negeri untuk penganjuran festival kali ini.

“Untuk menegakkan dan membangunkan Islam serta agama Allah di muka bumi ini, kita tidak boleh membakarnya dengan sentimen emosi semata-mata.

“Justeru, penganjuran festival ini untuk mengisi ilmu berguna yang diiringi dengan zikir, selawat dan aktiviti kebudayaan serta kesenian untuk membentuk sanubari kita dengan bermakna,” katanya.

Penggunjung mengimbas Kod QR untuk mendaftar ketika pembukaan Festival Turath Islami Selangor di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam pada 26 Mei 2024 . Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Bermula jam 10 pagi, majlis diteruskan dengan kupasan kitab Hadis 40 oleh bekas Mufti Besar Mesir Syeikh Profesor Dr Ali Jum’ah yang diterjemah Pengarah Akademi Pemikiran Turath Al-Mustanir Ahmad Faiz Mohd Khalil.

Festival Turath Islami Selangor yang membuka tirai pada hari ini hingga 2 Jun bakal mengupas karya agung Imam Nawawi dengan lebih mendalam membabitkan ulama tradisional serta ahli akademik.

Maklumat lanjut boleh dicapai melalui laman sesawang http://www.turathislamiselangor.com atau Facebook Festival Turath Islami Selangor.


Pengarang :