Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming bersama Timbalan Menterinya Datuk Aiman Athirah Sabu (dua dari kiri) dan Ketua Setiausaha Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk M Noor Azman Taib (dua dari kanan). menyempurnakan Pra Pelancaran Sambutan Hari Landskap Negara (HLN) 2024 di Taman Persahabatan China-Malaysia, Anjung Floria, Putrajaya pada 15 Mei 2024. Foto BERNAMA
BERITA UTAMAPBTSELANGOR

Pameran arca, sukan rakyat antara aktiviti Hari Landskap Negara 2024

SHAH ALAM, 23 MEI: Hari Landskap Negara (HLN) 2024 berlangsung dari 24 Mei hingga 2 Jun ini di Taman Tasik Shah Alam dekat sini.

Anjuran bersama Jabatan Landskap Negara dan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), program bermula dari 9 pagi hingga 10 malam sepanjang 10 hari berlangsung.

Pengarah Pembangunan Komuniti MBSA Shahrin Ahmad berkata pelbagai program menarik diadakan antaranya pameran arca, demonstrasi landskap, jualan pokok, sukan rakyat serta forum berkaitan industri.

“Kita jangka antara 4,000 hingga 8,000 pengunjung datang setiap hari ke HLN ini. Tambahan waktu itu juga merupakan cuti penggal persekolahan.

“Orang ramai dijemput hadir ke program ini memandangkan pelbagai aktiviti menarik disediakan. Ada juga persembahan menerusi program Lepak Seni yang diadakan di Laman Budaya,” katanya kepada SelangorKini.

Minggu lalu, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming berkata Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim berkenan menyempurnakan perasmian sambutan pada hari kedua penganjuran.

Beliau berkata sambutan bertemakan ‘Industri Landskap Pemacu Pembangunan Madani’ itu bakal menjadi platform kepada penggiat industri landskap untuk mempromosi dan memasarkan produk mereka.

Sepanjang 10 hari berlangsung, pihaknya menyasarkan 50,000 pengunjung hadir melibatkan semua lapisan masyarakat.


Pengarang :