AGENDAJENAYAH

Polis tahan 812 individu disyaki miliki dadah, seludup dari negara jiran

KOTA BHARU, 26 MEI: Polis menahan 812 individu disyaki memiliki dadah menerusi Ops Tapis Bersepadu dan Ops Bersepadu Sempadan di negeri ini sejak 16 Mei hingga semalam.

Ketua Polis Kelantan Datuk Muhamad Zaki Harun berkata mereka terdiri daripada 793 lelaki dan 19 perempuan berusia antara 16 hingga 72 tahun.

“Operasi itu memberi tumpuan di kawasan penagih terlibat dalam penyalahgunaan dadah, selain bertujuan mengekang penyeludupan masuk bahan terlarang itu dari negara jiran melalui sempadan negeri ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata kesemua yang ditahan disiasat di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952, Akta Dadah Berbahaya (Langkah-Langkah Pencegahan Khas) 1985 dan Akta Racun 1952.

Beliau berkata selain itu, pasukan polis turut menyita pelbagai dadah dan harta yang dianggarkan bernilai RM887,588.

— BERNAMA


Pengarang :