AGENDAJENAYAH

Polis tumpas sindiket pengedaran guna kereta buruk simpan dadah

JOHOR BAHRU, 23 MEI: Polis berjaya menumpaskan sindiket pengedaran dadah yang menggunakan kereta buruk sebagai tempat penyimpanan selepas menahan dua individu dalam operasi khas di sini pada 16 hingga 20 Mei lepas.

Ketua Polis Johor CP M Kumar berkata penahanan lelaki tempatan berumur 35 dan 36 tahun itu turut membawa kepada rampasan 10.74 kilogram heroin, 875 gram ganja, 37 peket syabu dan 6,100 biji pil Erimin 5 bernilai RM331,339.

Beliau berkata sindiket terbabit dipercayai telah aktif mengedar dadah untuk pasaran tempatan sejak Mac lepas.

“Kebiasaannya sindiket edar dadah menggunakan kawasan berpagar dan dikawal, tetapi modus operandi diubah dengan menggunakan kereta sebagai tempat penyimpanan supaya kegiatan sukar dihidu.

“Sindiket pakai kereta biasa atau boleh dikatakan kereta buruk, kereta itu dibiarkan di kawasan seperti lorong dan tempat awam, daripada (mata kasar) tiada siapa sangka di dalamnya mengandungi dadah,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor di sini hari ini.

Kumar berkata rampasan lain termasuk dua kereta jenis Toyota Vios dan Honda CRV, dua motosikal, wang tunai berjumlah RM4,620 dan mata wang dolar Singapura berjumlah SGD117 (SGD1=RM3.48).

Beliau dalam pada itu, berkata kedua-dua lelaki terbabit mempunyai rekod lampau jenayah dan dadah, manakala seorang positif dadah jenis tetrahydrocannabinol (THC).

Dua lelaki itu menurutnya, direman selama tujuh hari bermula 17 Mei dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

– BERNAMA

 


Pengarang :