AGENDAJENAYAH

Ubah suai ekzos antara kesalahan kenderaan menuju Lebuhraya Pantai Timur

KUALA LUMPUR, 26 MEI: Sebanyak 28 notis saman dikeluarkan terhadap 28 pemilik kenderaan di atas pelbagai kesalahan dalam Op Khas Trafik Samseng Jalanan di sebuah stesen minyak berhampiran Plaza Tol Gombak, pagi ini.

Pegawai Turus Risik Operasi Jabatan Siasatan dan Pengurusan Trafik Bukit Aman ASP Mohd Rizam Surani berkata antara kesalahan yang dilakukan ialah, tidak mempunyai lesen memandu yang sah, mengubah suai ekzos dan mempamerkan nombor pendaftaran fancy.

“Sebanyak 80 kenderaan telah diperiksa. Operasi ini dilakukan bagi memastikan pengguna jalan raya mematuhi undang-undang termasuk kenderaan yang digunakan mengikut spesifikasi yang betul, berikutan banyak aduan diterima di sepanjang Lebuhraya Pantai Timur.

“Operasi juga bertujuan sebagai advokasi kepada pengguna jalan raya tentang keutamaan keselamatan semasa menggunakan lebuh raya,” katanya kepada Bernama di lokasi operasi dekat sini hari ini.

Mohd Rizam berkata operasi yang bermula pukul 7 pagi itu turut disertai Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK).

Beliau berkata dalam operasi sama, seramai 12 individu telah diarah menjalani ujian saringan air kencing namun keputusannya negatif dan pihak JPJ juga turut mengeluarkan sebanyak 18 notis melibatkan pelbagai kesalahan JPJ.

Tinjauan Bernama mendapati lebih kurang 50 kenderaan diperiksa dalam operasi selama satu jam itu dan rata-rata pengguna jalan raya yang ditemui memberitahu mereka dalam perjalanan menuju ke pameran automotif yang diadakan di Genting Highland, hari ini.

-BERNAMA

 


Pengarang :